Hazami terkejut jumpa Fauziah Latiff

No Image Caption
A
A
A

PENYANYI Hazami meluahkan rasa terharunya apabila melihat kesungguhan para peminatnya mengadakan majlis istimewa sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-44 yang jatuh pada 22 Februari lalu.

Menurut Hazami, majlis yang dianjurkan oleh kelab peminatnya, Hazamiloveu di Restoran Grand Sari Ratu Prima, Wisma Consplant, Subang Jaya semalam adalah di luar pengetahuan dan merupakan satu kejutan buatnya.

“Ketika ini saya begitu sibuk dengan kerja-kerja studio untuk menyiapkan lagu buat beberapa penyanyi menyebabkan saya tidak sempat nak fikir tentang benda lain.

“Jadi saya sudah ingatkan awal-awal kepada pengurus saya, tak perlu nak buat majlis atau apa-apa sambutan sempena hari jadi saya sebab sibuk dengan kerja. Tapi diam-diam peminat saya pula yang buat.

“Apa pun, alhamdulillah terima kasih atas penghargaan ini. Semuanya mereka buat sendiri dan paling tak sangka mereka bawa penyanyi kesayangan saya, Fauziah Latiff, selain kawan-kawan yang dah lama saya tak jumpa untuk bersama-sama saya di majlis ini,” luah Hazami.

Mengakui tidak mempunyai pengikut yang besar sebagaimana artis-artis angkatan baru, penyanyi Mungkir Bahagia ini bagaimanapun bersyukur kerana mereka yang berada bersamanya adalah pengikut yang setia dan sentiasa menyokong kerjaya seninya.

No Image Caption

“Saya ni orang yang biasa-biasa sahaja. Macam mana orang lihat saya, begitulah saya. Jadi bila ada peminat yang setia dan bersama saya kerana bakat saya selama ini, itu sudah cukup baik buat saya.

Artikel Berkaitan:

“Apatah lagi bila mereka sudi buat semua ini untuk saya, lagilah rasa terharu. Terima kasih untuk semua ini,” ucapnya.

Pada majlis tersebut, Hazami tampil membuat persembahan istimewa dengan menyampaikan beberapa buah lagu popularnya, selain tetamu turut dihiburkan dengan persembahan Fauziah Latiff dan Haida.

Ditanyakan apakah harapan dan perancangannya sempena sambutan ulang tahun kelahiran kali ini, kata Hazami, dia hanya mahu pergi bercuti dan lari seketika daripada kesibukan kerja yang tidak putus semenjak akhir-akhir ini.

“Buat masa ini saya hanya fikrikan tentang percutian kerana mahu berehat seketika dari kerja. Rasa macam dah penat sangat.

“Mungkin orang tak nampak kesibukan saya, tetapi hakikatnya rutin saya setiap hari memang tak tahu nak cakap macam mana.

“Selepas itu barulah saya nak fikir tentang benda lain, terutamanya impian saya nak buat showcase dan semoga ia menjadi kenyataan pada tahun ini,” katanya.