10 pasukan khas pantau perhimpunan Black Democracy di Kedah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PADANG TERAP - Polis Kedah mengesahkan tiada sebarang perhimpunan Black Democracy dikesan di beberapa lokasi dikenal pasti di negeri ini pada Rabu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, terdapat lokasi dikenal pasti melalui maklumat diterima seperti Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Istana Anak Bukit dan hadapan Masjid Zahir di Alor Setar.

Bagaimanapun, Kamarul Zaman berkata, keadaan didapati terkawal dan tiada sebarang perhimpunan yang dikesan di Kedah buat masa ini.

"Lebih 10 pasukan khas ditubuhkan di Kedah bagi memantau perhimpunan itu.

"Anggota dan pegawai diletakkan di semua kawasan dikenal pasti bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini," katanya kepada pemberita ketika tinjauan operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Sungai Kuala Pai, Kuala Nerang di sini pada Rabu.

Tambah beliau, sebanyak 280 pasukan pemantau Covid-19 turut ditugaskan untuk memberi tumpuan terhadap perhimpunan berkenaan.

"Orang awam yang berhasrat berhimpun dinasihatkan tidak melakukannya kerana tindakan kompaun akan diambil sekiranya mereka didapati keluar tanpa sebarang tujuan," katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, rondaan turut dilakukan bagi memastikan tidak ada yang cuba untuk menggugat ketenteraman awam di kawasan dikenal pasti seluruh Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Laluan laluan keluar masuk daerah juga diperketatkan," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial memaklumkan satu demonstrasi mengguling kerajaan dilakukan antara jam 12.30 tengah hari hingga 6 petang Rabu di hadapan bangunan KWSP Peladang.

Turut tersebar gambar pemeriksaan polis di beberapa lokasi di Alor Setar termasuklah di hadapan Masjid Zahir.