Malaysia buat 'lockdown' paling panjang: Anwar

Anwar menunjukkan rajah pemberian vaksin di negara ini yang jauh lebih rendah berbanding keperluan rakyat semasa sidang akhbar secara maya pada Rabu.
Anwar menunjukkan rajah pemberian vaksin di negara ini yang jauh lebih rendah berbanding keperluan rakyat semasa sidang akhbar secara maya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia didakwa menjadi satu-satunya negara di dunia yang melakukan 'lockdown' atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling panjang tetapi kes penularan pandemik Covid-19 masih juga belum berakhir.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kes jangkitan harian wabak itu masih naik turun dan belum menampakkan titik akhir.

"Sebab itu, sekali lagi saya tegaskan pendekatan PKP tanpa melihat kepada butiran terperinci (kes) tidak akan berkesan.

"Ia hanya akan menyeksa rakyat dengan pembatasan-pembatasan (sekatan) tetapi kesannya tidak ada," katanya pada sidang akhbar mengenai laporan Covid-19 dan situasi kewangan rakyat bersama beliau yang diadakan secara maya pada Rabu.

Anwar menegaskan, negara terus bergelut dengan krisis Covid-19 ekoran keupayaan Malaysia untuk memperoleh bekalan vaksin adalah lembap (perlahan).

Jelas beliau, sekiranya dilihat keupayaan pengeluaran vaksin dunia, Malaysia sepatutnya mempunyai keupayaan untuk mendapat 0.4 peratus bekalan.

"Tetapi setakat ini, kita hanya dapat 0.2 peratus dan kalau dibandingkan dengan 0.4 peratus yang sepatutnya kita dapat, ia tidak penuhi unjuran kita.

"Anggaran keperluan vaksin itu tinggi tapi pemberiannya kepada rakyat jauh lebih rendah walaupun kita akui vaksin itu bertambah sekarang. Namun ia tetap lari dari unjuran dan kita ketinggalan di belakang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai ujian saringan Covid-19 pula, Anwar menegaskan, ujian harian perlu dipertingkatkan agar negara tahu jumlah sebenar rakyat dijangkiti wabak itu setiap hari.

"Kalau kita lihat jumlah kes positif harian Covid-19, Selangor paling tinggi sebab negeri itu lakukan ujian paling tinggi.

"Penyelesaian bagi masalah penularan virus ini adalah vaksin tapi sebab kelembapan (pemerolehan) vaksin, kita kena tingkatkan ujian," katanya.

Anwar berkata, penularan jangkitan itu perlu ditangani dengan berkesan kerana keadaan akan lebih berbahaya sekiranya ia tidak lagi dapat dikenal pasti melalui kluster sebaliknya merebak dengan meluas dan mencapai tahap endemik.

Katanya, keadaan itu akan terus menyeksa rakyat yang sememangnya sangat tertekan dengan pelaksanaan PKP sehingga wujud kempen naikkan bendera putih bagi mereka yang tersepit.