Penternakan arnab berpotensi besar jadi sumber pendapatan

Che Abdullah Mat Nawi - Foto Bernama
Che Abdullah Mat Nawi - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Industri penternakan arnab pedaging dan haiwan kesayangan di lihat berpotensi besar menjadi sumber pendapatan kepada rakyat, khususnya golongan muda di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, selain mempunyai permintaan tinggi di pasaran, penternakan arnab juga membuka peluang agropelancongan.

“Ketika ini populasi arnab di negara ini dianggarkan 33,701 ekor, meliputi penternakan arnab pedaging dan sebagai haiwan kesayangan. Harga daging bertulang ialah RM36 sekilogram manakala bagi daging tanpa tulang pula RM47 sekilogram.

“Antara kelebihan bidang penternakan arnab ialah pembiakan yang cepat (tempoh bunting 30 hari) selain memerlukan diet pracampuran yang mudah diperoleh dan haiwan ini juga boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu bersempena lawatan kerja ke penternakan arnab Kundang Ulu, Gerisek dekat Tangkak.

Che Abdullah berkata, di Johor, terdapat 53 penternak arnab yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor (JPVNJ) dengan jumlah populasi 4,339 ekor bagi kategori arnab pedaging dan 123 sebagai haiwan kesayangan.

Katanya, JPVNJ bersama-sama kerajaan negeri akan terus menyokong usaha kerajaan dalam memajukan industri penternakan arnab menerusi pelaksanaan program berbentuk khidmat nasihat serta bimbingan, kursus penternakan arnab, penghasilan produk tambah nilai berasaskan daging arnab seperti burger, sate dan arnab perap selain kursus pemprosesan kulit.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan insentif berbentuk bantuan bahan binaan untuk membina, membaiki dan menaik taraf reban serta bantuan peralatan di bawah pembangunan industri aneka haiwan dengan peruntukan berjumlah RM90,000.00 bagi 2021.

Katanya, hingga kini, seramai empat penternak arnab berpotensi di Johor telah dibimbing melalui Program Pengembangan Veterinar. - Bernama

Artikel Berkaitan: