Bank Islam tawar moratorium enam bulan mulai 7 Julai

No Image Caption
A
A
A

BANK Islam Malaysia Bhd menawarkan moratorium enam bulan untuk pelanggan daripada segmen B40, M40 atau T20 termasuk segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat pandemik yang masih berterusan mulai 7 Julai ini.

Bank itu dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, ia sebagai menyokong Pakej Kesejahteraan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi Negara (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.

Bank itu kini sedang membantu 5,251 pelanggan, individu dan PKS, dengan jumlah pembiayaan tertunggak berjumlah lebih RM888 juta sejak penguatkuasaan Fasa Satu Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara pada 1 Jun 2021.

"Jumlah itu termasuk 5,166 pelanggan individu yang mempunyai pembiayaan tertunggak melebihi RM603 juta, manakala 85 permohonan dengan nilai keseluruhan melebihi RM285 juta adalah di bawah segmen PMKS" kata bank itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam telah memperkenalkan pelbagai pakej bantuan pembayaran sejak bermulanya pandemik ini dengan tujuan memberikan kelegaan yang amat diperlukan kepada pelanggan semasa waktu-waktu yang mencabar ini.

"Di bawah program bantuan pembayaran balik yang bermula pada Ogos 2020, pihak bank telah membantu hampir 30,000 pelanggan individu dengan jumlah tunggakan sebanyak RM3.74 bilion sehingga 18 Jun 2021 dan lebih 200 pelanggan PMKS, melibatkan lebih RM670 juta," katanya.

Bank Islam menggesa pelanggan yang memerlukan bantuan untuk mendekati dan memilih opsyen bantuan mereka.

"Tiada dokumentasi diperlukan untuk pelanggan individu, dan semua permohonan akan diluluskan secara automatik apabila mereka memilih untuk serta, malahan rekod CCRIS mereka tidak akan terjejas sekiranya mereka memilih mendapatkan bantuan pembayaran balik," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: