SelVAX edar 2.5 juta vaksin untuk rakyat, pekerja di Selangor

Kerajaan negeri Selangor melancarkan SelVAX dalam usaha melengkapi pelaksanaan PICK untuk mencapai tahap imuniti kelompok lebih awal di negeri tersebut. - Gambar hiasan
Kerajaan negeri Selangor melancarkan SelVAX dalam usaha melengkapi pelaksanaan PICK untuk mencapai tahap imuniti kelompok lebih awal di negeri tersebut. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor melancarkan Program Vaksin Selangor (SelVAX) pada Rabu dalam usaha melengkapi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk mencapai tahap imuniti kelompok lebih awal di negeri tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya membawa masuk 2.5 juta dos vaksin Sinovac yang akan diberikan sebanyak dua dos secara percuma masing-masing kepada 250,000 penduduk menerusi SelVAX Komuniti manakala 1 juta pekerja industri termasuk buruh warga asing di bawah SelVAX Industri akan dikenakan bayaran kepada majikan mereka.

Tambahnya, menurut data terkini, 91 peratus kes di Selangor berpunca daripada kluster tempat kerja, iaitu sebanyak 125 jumlah keseluruhan kluster yang terdiri daripada 80 peratus dari sektor perkilangan dan 11 peratus kluster tapak pembinaan.

“2 juta dos diperuntukkan buat 1 juta pekerja industri di bawah SelVAX Industri untuk merancakkan kembali sektor perindustrian di negeri ini yang merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia.Penting untuk dinyatakan di sini syarikat yang mengambil bahagian tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang kos ke atas pekerja mereka.

“Dengan memberikan vaksin kepada pekerja kilang dan industri, kita dapat mengawal dan mengurangkan kadar penularan Covid-19, secara tidak langsung akan melindungi kita semua.

“Antara sasaran adalah melindungi golongan warga emas, kumpulan B40, di kalangan penerima Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sedia ada seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Skim Peduli Sihat serta kategori lain yang akan ditentukan kelak berdasarkan keperluan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, program tersebut dijangka akan meningkatkan lagi kadar pemberian vaksin di Selangor apabila hanya 270,221 individu sahaja yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan manakala 851,118 orang pula baru menerima dos pertama mereka walaupun lebih dari 3.9 juta penduduk negeri itu sudah berdaftar untuk divaksin.

“Angka yang rendah ini disebabkan bekalan vaksin yang terhad, masalah ini bukan hanya berlaku di negeri Selangor dan Malaysia tetapi juga di rantau Asia Tenggara serta Afrika.

Artikel Berkaitan:

“Kita mensasarkan tambahan kapasiti sehingga 43,500 dos vaksin sehari melalui lebih daripada 22 Pusat Pemberian Vaksin (PPV), dewan komuniti, PPV bergerak dan klinik serta hospital swasta. Kerajaan negeri mensasarkan sehingga 181,000 dos vaksin bagi penerima SelVAX Komuniti secara percuma menjelang akhir bulan Julai 2021,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa orang ramai supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sentiasa berwaspada selagi imunisasi berkelompok masih belum dapat dicapai.

“Teruskan memakai pelitup muka, jaga jarak dan sentiasa mencuci tangan, walaupun anda telah divaksin. Kita hanya selamat sehingga orang keliling kita termasuk keluarga dan kawan-kawan selesai menerima vaksin,” katanya lagi.