Ibu tarik nafas lega anak OKU terima vaksin

Jururawat Fatimah Sain memberi suntikan vaksin Covid-19 dos pertama kepada Orang Kurang Upaya (OKU) Choo Zheng Hong, 18, di pusat rawatan terapi Yayasan Ipoh hari ini. -Foto Bernama
Jururawat Fatimah Sain memberi suntikan vaksin Covid-19 dos pertama kepada Orang Kurang Upaya (OKU) Choo Zheng Hong, 18, di pusat rawatan terapi Yayasan Ipoh hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Seorang ibu mampu menarik nafas lega walaupun pada mulanya berasa agak gementar dan takut apabila anaknya yang merupakan seorang kurang upaya (OKU) menerima vaksin dos pertama di pusat rawatan terapi, Yayasan Ipoh di sini pada Rabu.

Tan Swee Lai, 43, dari Bercham, di sini berkata, anak lelakinya, Choo Zheng Hong, 18, mengalami kecederaan otak sehingga menyebabkan keseluruhan badan tidak boleh bergerak dan tidak mampu bertutur akibat kemalangan jalan raya sejak empat tahun lepas.

"Pada mulanya saya berasa sedikit gementar dan takut apabila mendengar 'cerita' negatif (mengenai kesan sampingan vaksin) tetapi apabila melihat anak saya sudah selesai dicucuk vaksin, saya berasa sangat gembira dan lega," katanya ketika ditemui pemberita.

Zheng Hong sebelum itu tiba kira-kira jam 10 pagi dengan berkerusi roda khas yang ditolak kakaknya ke pusat tersebut dan dibawa ke bilik penerimaan suntikan bagi mendapatkan vaksin Sinovac sebelum beredar 15 minit kemudian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ipoh, Datuk Dr R Ramanathan berkata, seramai 72 penerima terdiri daripada 50 OKU dan 22 penjaga OKU menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 hari ini yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita berharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dan kita dapat membantu KKM untuk memberi vaksinasi kepada semua terutama kepada golongan OKU bagi mencapai sasaran imuniti kelompok," katanya.

Sebanyak 7,824,912 dos vaksin telah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat Selasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 5,610,911 adalah penerima dos pertama manakala 2,214,001 individu lagi telah menerima dos kedua, sekali gus melengkapkan vaksinasi mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: