Cukai alat ganti AP berbeza boleh dorong rasuah

Allianz
Allianz
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat insurans, Allianz Malaysia Berhad menggesa kerajaan menyelaraskan kadar cukai kereta agar tidak berlaku perbezaan termasuk permit import (AP).

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata, perbezaan cukai membabitkan alat ganti kereta yang mempunyai permit import (AP) boleh mendorong berlakunya peningkatan rasuah di negara ini.

“Saya bagi contoh, jika kereta Mercedez Benz atau BMW, cukai yang dikenakan terhadap alat ganti yang diimport ialah 300 peratus.

“Tetapi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi AP kepada pengimport alat ganti kereta Mercedez Benz, BMW yang bukan dikenakan 300 peratus cukai tetapi mereka diberi 35 hingga 75 peratus bergantung kepada budi bicara pada masa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sesi meja bulat bersama media bertajuk Crash, Boom Bang! yang dibuat secara maya pada Rabu.

Tambahnya, berbanding negara seperti Singapura, cukai yang dikenakan adalah selaras untuk semua alat ganti kereta.

“Siapa pun boleh membeli alat ganti kerana cukai yang dikenakan adalah sama. Di Malaysia, cukai alat ganti tidak sama,” katanya.

Menurutnya, jika cukai alat ganti tersebut diselaraskan, tidak ada mana-mana pihak yang akan mendapat kelebihan dan mengambil kesempatan.

Artikel Berkaitan:

“Jika (cukai alat ganti) kereta 300 peratus, semua 300 peratus. Tapi kita tidak ada (cukai diselaraskan) itu.

“Kita ada kerajaan yang memberikan cukai AP berbeza. Ini satu masalah besar,” katanya.

Tegasnya, apa yang penting adalah tadbir urus dan semua pihak hendaklah melakukannya.

“Syarikat insurans, kerajaan, polis hendaklah membuat tadbir urus dan kemudian baru kita boleh kurangkan (rasuah) ini,” katanya rasuah berlaku dalam industri berpunca daripada ketidakcekapan syarikat insurans.

“Dalam syarikat insurans sendiri ada orang yang mengambil duit. Persekitaran seperti ini berlaku disebabkan ada orang yang mahu mengambil rasuah,” katanya.