PDRM ulangi cadangan sampel DNA bayi diambil, disimpan dalam bank data

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,Datuk Seri Abdul Jalil Hassan memberi penerangan pada sidang media selepas sesi lawatan kerja di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras pada Rabu. - Foto Bernama
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,Datuk Seri Abdul Jalil Hassan memberi penerangan pada sidang media selepas sesi lawatan kerja di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengulangi cadangannya agar sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bayi yang baru lahir diambil dan disimpan dalam bank data DNA demi kepentingan umum.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, cadangan itu pernah diutarakan pada 2001, namun ditolak oleh kerajaan atas beberapa alasan, antaranya berkaitan hak asasi manusia serta kebimbangan data disalah guna.

Amat penting bagi pasukan keselamatan mempunyai bank data DNA yang lengkap, khususnya dalam membantu polis menyelesaikan kes jenayah, katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Bahagian Forensik (D10) dan Bahagian Databank DNA (D13) JSJ di Maktab PDRM Cheras di sini pada Rabu.

"Sebagai contoh, kita berjaya menyelesaikan kes jenayah rogol dan samun yang terjadi pada 1999 di Cheras melalui padanan profil daripada bank data DNA pada 2019, dan kes ini telah dibawa ke mahkamah dan memberi kelegaan kepada mangsa.

"Satu contoh lagi, kita membantu Interpol menyelesaikan satu pembunuhan di luar negara pada 1996 berdasarkan sampel DNA diambil daripada botol minuman melalui padanan profil DNA yang terdapat dalam bank data PDRM, dan bukti DNA ini kemudian diterima oleh mahkamah di negara berkenaan," katanya.

“Mengikut Akta Identifikasi DNA 2009, DNA hanya boleh diambil di tempat kejadian, orang yang disyaki, banduan, tahanan, penagih dadah, orang hilang dan secara sukarela,” jelas Abd Jalil.

Beliau berkata, hingga 25 Jun lepas, terdapat 160,000 profil DNA disimpan dalam bank data DNA milik PDRM.

"Hingga tarikh itu juga, PDRM berjaya menyelesaikan 131 kes menerusi padanan DNA di bank data PDRM, oleh itu kita lihat penyimpanan profil DNA ini amat penting bagi membantu polis dalam menjalankan siasatan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: