Moratorium: Cadangan Pemuda UMNO kepada kerajaan

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO pada Rabu mencadangkan kerajaan terutamanya Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mengambil beberapa langkah berhubung isu kaedah penawaran moratorium oleh institusi-institusi perbankan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana pihaknya menerima ratusan mesej dan maklum balas daripada orang ramai mengenai kepelbagaian kaedah tawaran moratorium diamalkan oleh bank-bank yang sebahagiannya membebankan rakyat dengan tambahan jumlah bayaran balik pinjaman akibat penangguhan ansuran bulanan.

Menurutnya, antara yang dicadangkan adalah memanfaatkan tiga punca kuasa yang ada di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Akta Bank Negara 2009 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dengan menyelaras dan menyeragamkan kaedah penawaran moratorium termasuklah aspek penangguhan pinjaman, mekanisme bayaran balik serta pengiraan untung dan faedah.

“Memastikan tiada faedah tambahan mahupun keuntungan terakru yang dikenakan sama ada secara zahir mahupun tersembunyi melalui moratorium yang diberikan kepada rakyat.

“Ini termasuklah caj-caj berkaitan yang amat membebankan,” katanya menerusi kenyataan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian moratorium secara automatik selama enam bulan kepada semua peminjam sama ada daripada golongan B40, M40, T20 dan usahawan mikro.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengeluaran KWSP, moratorium pinjaman bantuan besar kepada M40

Mengulas lanjut, Asyraf menambah, antara cadangan lain dikemukakan adalah memberikan insentif cukai kepada bank-bank yang tidak memindahkan keuntungan atau faedah terakru semasa tempoh moratorium kepada rakyat pada penghujung tempoh bayaran balik atau dalam tempoh penambahan jangka masa bayaran balik.

Artikel Berkaitan:

“Mengambil kira bank sebagai perantara kewangan yang punya komitmen terhadap pendeposit dan pelabur, kerajaan melalui Bank Negara boleh memperkenalkan polisi zero interest rate bagi satu tempoh tertentu dalam keadaan pandemik.

“Polisi zero interest rate terutamanya bagi overnight policy rate (OPR) boleh mengurangkan tekanan kepada bank akibat kos-kos dana yang terpaksa diambil kira dalam pengiraan caj faedah.

“Melalui polisi ini, bank-bank tidak lagi perlu mengenakan caj faedah terakru ke atas rakyat yang menerima tawaran moratorium untuk tempoh enam bulan,” jelasnya.

Katanya, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) juga boleh mengarahkan bank-bank mewujudkan tabung khas dengan memindahkan sebahagian daripada keuntungan pada kadar tertentu bagi dimanfaatkan untuk tujuan menyerap sebarang kemungkinan kerugian akibat kegagalan pelanggan membayar balik pinjaman selepas moratorium diberikan.

“Ini penting bagi membolehkan mekanisme pengiraan keuntungan bank tidak lagi memasukkan elemen expected loss yang menaikkan nilai faedah terakru yang dikenakan pihak bank kepada pelanggan,” katanya.

Asyraf berkata, pihaknya mengharapkan agar kerajaan terutamanya Menteri Kewangan dapat mengambil serius tuntutan dan cadangan diberikan.

“Bagi memastikan moratorium yang diumumkan kerajaan benar-benar bermanfaat dan bukannya menambahkan beban baharu kepada rakyat yang sememangnya sudah terdesak, tertekan dan menderita akibat pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.