X

Kindly register in order to view this article
!

Pengawalan kerajaan perlu lebih fleksibel mudahkan perubahan pesat

Mohamed Azmin Ali - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pengawalan kerajaan perlu lebih fleksibel dalam bertindak balas terhadap perubahan pesat untuk memastikan negara kekal di jalan pemulihan ekonomi dan pertumbuhan yang berterusan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rangka kerja pengawalseliaan perlu dibentuk bagi membolehkan inovasi teknologi, memastikan persekitaran perniagaan terbuka dan bukan diskriminasi, melindungi pengguna serta pekerja dan menangani kesan gangguan yang tidak diingini.

"Pertumbuhan produktiviti yang mampan bergantung kepada modal produktif, rakyat dan tenaga kerja, oleh itu, langkah membentuk semula tenaga kerja Malaysia agar lebih dinamik, tangkas serta berdaya tahan adalah penting untuk memulihkan produktiviti," katanya.

Beliau semasa berucap di pelancaran rasmi maya 'Laporan Produktiviti 2021- Meningkatkan Produktiviti: Set Semula, Pembaharuan, Pemulihan' pada Rabu berkata, program peningkatan kemahiran termasuk latihan semula perlu ditujukan ke arah memperoleh kemahiran dalam permintaan.

"Dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menjurus ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan destinasi utama untuk industri berteknologi serta berimpak tinggi, pembuatan pintar dan perkhidmatan berkaitan, proses transformasi digital kita juga mesti bergerak seiring," katanya.

Mohamed Azmin berkata, negara sudah pun menyaksikan hasil pertama NIA, apabila pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama bagi suku pertama 2021 melonjak 95.6 peratus dari tahun ke tahun kepada RM80.6 bilion.

Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah menggariskan rancangan hala tuju perjalanan ke arah pemulihan.

"Untuk meletakkan negara di laluan pemulihan di bawah PPN, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej RM150 bilion yang bertujuan untuk mengekalkan inisiatif rangsangan ekonomi terdahulu, menyokong perniagaan dan mempercepatkan vaksinasi," katanya.

Menurut Mohamed Azmin, sejumlah RM600 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan bekalan vaksin termasuk penubuhan 29 lagi pusat vaksinasi di negara ini.

"Sebanyak RM150 juta diberikan bagi memudahkan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang diterajui MITI ketika ini, dengan memberi tumpuan kepada subsektor pembuatan yang merupakan komponen utama rantaian bekalan produk dan perkhidmatan penting.

"Melindungi pekerja kekal penting kerana ia merupakan komponen kritikal sektor ekonomi," katanya lagi. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!