'Tak perlu spekulasi, pembubaran bagi laluan pelapis baharu'

Akmal Nasrullah menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada Rabu.
Akmal Nasrullah menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pembubaran jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor dan Perlis pada Isnin lalu tidak perlu dijadikan spekulasi kerana ia dibuat bagi memberi laluan kepada pelapis baharu yang akan menerajui parti pada akan masa datang.

Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keputusan itu dilakukan bagi mencari kesinambungan pimpinan pelapis di peringkat negeri dapat diteruskan.

"Apabila saya meneliti keadaan terkini AMK, saya melihat keperluan untuk melahirkan lebih ramai pelapis kerana kebanyakan kami tidak lagi akan meneruskan kepimpinan AMK.

"Kepimpinan ketika ini tidak selamanya akan memimpin, jadi perlu beri ruang kepada kepimpinan lebih muda supaya apabila kami tamat memegang jawatan pada 2023 nanti, pelapis baharu dapat mewarisi dan sudah ada tanggungjawab mereka daripada sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini pada Rabu.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, perbincangan telah diadakan dengan cabang-cabang AMK Selangor dan calon baharu bagi menggantikan Ketua AMK Selangor, Najwan Halimi yang digugurkan akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Saya melihat perlu adanya rombakan selepas selesai Kongres Nasional Tahunan PKR (Parti Keadilan Rakyat) yang telah ditangguhkan selain persediaan bagi berdepan Pilihan Raya Umum (PRU). Sebab itu, kita mahu tonjolkan pelapis baharu," katanya.

Sebelum itu, media pada Isnin melaporkan Najwan dipecat dan seluruh jawatankuasa AMK negeri itu dibubar serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu didedahkan oleh Ahli PKR Cabang Kota Raja, Danish Hairudin yang berkata, Akmal Nasrullah telah melakukan tindakan berkenaan atas alasan mereka menjalinkan hubungan ‘mesra’ dengan kumpulan baju hitam yang pro Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berhubung laporan polis yang dibuat terhadap Datuk Mohd Rashid Hasnon, Akmal Nasrullah berharap polis akan melakukan siasatan terperinci.

"Saya membuat laporan polis terhadap beliau (Datuk Mohd Rashid Hasnon) pada Rabu berhubung video yang tular sejak Selasa memaparkan beliau sedang menghadiri kenduri durian di sebuah kebun di Batu Pahat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan laporan polis berkenaan.

Pada Selasa, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner, Ismail Dollah menerusi kenyataan berkata, pihaknya akan memanggil wakil rakyat terbabit dan individu yang dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) fasa satu Perintah Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua AMK Selangor digugurkan serta-merta

AMK susun semula barisan kepimpinan