Penduduk B40 wujudkan Gerobok Prihatin

Baharuddin (tengah) membantu mengagihkan barang keperluan asas daripada Gerobok Prihatin kepada penduduk yang memerlukan di Rumah Pangsa Taman Air Biru, Pasir Gudang pada Rabu.
Baharuddin (tengah) membantu mengagihkan barang keperluan asas daripada Gerobok Prihatin kepada penduduk yang memerlukan di Rumah Pangsa Taman Air Biru, Pasir Gudang pada Rabu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Penghuni Rumah Pangsa Taman Air Biru di sini mengambil inisiatif mewujudkan Gerobok Prihatin sebagai pusat pengumpulan makanan untuk penduduk di kawasan itu yang terputus bekalan makanan.

Usaha penduduk di kawasan itu yang merupakan golongan B40 dilakukan sejak seminggu lalu bagi membantu penghuni yang memerlukan bantuan.

Seorang ibu tunggal beranak lima, Nurul Tompang yang tidak kerja sejak dua bulan lalu mengakui Gerobok Prihatin memberi manfaat kepada individu sepertinya.

"Bagi sayalah memang sangat terkesan sebab dua bulan saya dicutikan kerja sebab pelanggan di tempat saya bekerja sangat kurang, saya pembantu tukang masak di sebuah restoran.

"Usaha ini sangat bagus kerana dapat membantu penduduk sekitar yang memerlukan, terima kasih bagi pihak yang menyumbang dan juga ketua kawasan persekitaran kami yang ambil berat masalah penduduk," katanya ketika ditemui di rumah pangsa itu pada Rabu.

Seorang suri rumah, Norlela Mohammad mengetahui mengenai bantuan Gerobok Prihatin melalui jirannya dan sudah dua kali mengambil barang keperluan di situ selepas terputus bekalan barang dapur.

"Alhamdulillah boleh kurangkan beban sikit sebab sudah berapa bulan tidak bekerja," katanya.

Sementara itu, Ketua Whip Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Baharuddin Mohamed Taib berkata, pihaknya amat tersentuh hati dengan kewujudan Gerobok Prihatin diusahakan daripada kalangan mereka yang bergelar B40.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk di sini bukan senang sangat pun kebanyakan B40 tetapi prihatin. Jadi rezeki yang mereka ada walaupun sedikit mereka sumbangkan, tidak perlu kaya untuk menyumbang, B40 pun boleh menyumbang kalau mereka masih ada kerja dan mampu," katanya.

Tambahnya, Gerobok Prihatin tidak menghadkan pengambilan bahan-bahan yang disumbangkan tetapi mesti benar-benar memerlukan dengan memilih lima barang keperluan asas.

Katanya, sejak Gerobok Prihatin diwujudkan lebih 20 penduduk sudah mengambil barang di situ dan selepas ini dijangka meningkat.