Yayasan Petronas sumbang peranti, data internet kepada 735 pelajar

Che Ahmad Tarmizi (kanan) menyampaikan peranti dan data internet sumbangan Yayasan Petronas melalui program Cerdik kepada salah seorang pelajar di Kampung Dusun Nyior, Kemaman pada Rabu.
Che Ahmad Tarmizi (kanan) menyampaikan peranti dan data internet sumbangan Yayasan Petronas melalui program Cerdik kepada salah seorang pelajar di Kampung Dusun Nyior, Kemaman pada Rabu.
A
A
A

KEMAMAN – Seramai 735 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) di Terengganu menerima kemudahan pembelajaran berbentuk peranti dan data internet sumbangan Yayasan Petronas melalui program Cerdik.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Rahman berkata, sumbangan itu meliputi penyelenggaraan peralatan serta jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun bagi setiap pelajar.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 37 peratus pelajar di negara ini tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

“Sumbangan peranti dan perkhidmatan internet ini diharap dapat membantu mengatasi jurang digital di kalangan pelajar yang mengikuti sesi pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya selepas menyampaikan peranti kepada dua pelajar terpilih di Felda Seberang Tayor dan Kampung Dusun Nyior di sini pada Rabu.

Menurut Che Ahmad Tarmizi, semua peranti dan data internet itu disampaikan kepada pelajar melalui pejabat Pendidikan Daerah meliputi daerah Kemaman, Besut, Kuala Nerus, Dungun dan Marang.

Beliau berkata, Petronas sentiasa komited menyokong usaha kerajaan untuk terus menyediakan pendidikan yang berkualiti terutama sekali semasa menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Usaha itu katanya, merupakan sebahagian daripada sumbangan RM30 juta oleh Yayasan Petronas melalui program Cerdik yang melibatkan 12,000 pelajar di seluruh negara.

“Ia merupakan antara fokus Yayasan Petronas kepada aspek pendidikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Cerdik merupakan inisiatif perintis CSR oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 untuk menyediakan akses digital pendidikan melalui akses kepada peranti dan sambungan data.

Dengan kerjasama KPM dan Kementerian Kewangan, inisiatif ini dibiayai sepenuhnya oleh GLC, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sektor swasta.

Inisiatif ini bertujuan menyokong pembelajaran yang berterusan dalam norma baharu dan memberi akses pendidikan kepada pelajar-pelajar sekolah yang paling memerlukan.

Sebelum ini, Yayasan Petronas telah menderma kelengkapan sekolah dan kit penjagaan kebersihan diri kepada 21,000 murid kurang berkemampuan melalui program Kembali ke Sekolah.

Ia juga turut menganjurkan program Duta Guru dalam melengkapkan persediaan guru guru mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan pengetahuan, kemahiran serta bahan pengajaran berkaitan STEM.