Pemilihan calon PM perlu berdasarkan struktur, hierarki parti

Kartini ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-269 bertajuk ‘PM9: Abah atau siapa’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Kartini ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-269 bertajuk ‘PM9: Abah atau siapa’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan calon perdana menteri yang baharu perlu berdasarkan kepada struktur dan hierarki parti, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib @Khalid.

Beliau berkata, walaupun ia bersifat hierarki, namun itulah sistem dan prosedur yang perlu dipertimbangkan atau diambil kira.

"Dalam parti ada komuniti yang memilih. Kita juga akan memberi ruang dan penyertaan kepada ahli-ahli parti. Kemudian ahli parti akan memilih tokoh yang paling digemari dan mendapat undi terbanyak dalam parti.

“Di Amerika Syarikat juga kita melihat ahli akan memilih siapa yang terbaik. Yang dipilih akan berdialog dan membentangkan apa agenda, misi dan progres untuk parti. Kemudian ahli akan memilih yang terbaik dan yang terbaik ini akan mewakili parti.

“Jadi, saya rasa perkara yang sama juga berlaku di Malaysia. Mereka akan memilih yang terbaik dan yang terbaik itu sebenarnya mewakili parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-269 bertajuk ‘PM9: Abah atau siapa’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Wacana tersebut turut menampilkan Profesor Adjung dan Pengarah Inovasi Sosial dan Perubahan (SLAS) Taylor's University, Anas Zubedy serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam perkembangan sama, Kartini berkata, terdapat tiga faktor yang mempengaruhi tingkah laku pengundi dalam memilih calon pemimpin antaranya personaliti, isu lokal dan peringkat pengaruh.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 32 peratus rakyat mahu undi ikut prinsip

Khairy, Nurul Izzah dan Rafizi dipilih jadi calon PM ke-9

Pemilihan calon PM perlu berdasarkan struktur, hierarki parti

Beliau berpendapat, dari segi personaliti Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau sebelum ini banyak memegang portfolio pentadbiran.

“Ini termasuklah pernah menjadi Menteri Besar Johor, menteri di beberapa kementerian iaitu belia dan sukan, pendidikan, menteri pertanian, perdagangan dan industri antarabangsa. Kemudian pernah menjadi timbalan perdana menteri dan kini memegang jawatan sebagai perdana menteri.

“Jadi, personaliti ini telah ada dalam diri abah (Muhyiddin) sekali gus melihat kemampuan dan keupayaan beliau bukan sahaja sebagai pemimpin tetapi kewibawaan serta dedikasi kesan daripada pengalaman beliau sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, faktor kedua pula ialah isu lokal yang mana pemimpin itu mampu menangani isu rakyat seperti isu bekalan air, cukai tanah, keselamatan, anak yatim dan gelandangan.

“Semua ini akan mempengaruhi bagaimana tingkah laku pengundi memilih pemimpin mereka nanti.

“Kemudian, faktor peringkat pengaruh iaitu persekutuan, negeri dan daerah. Tiga perkara ini saya kira sangat penting kerana pengundi di daerah, negeri dan luar bandar mempunyai pandangan serta nilai yang berbeza dalam melihat ketokohan seorang pemimpin,” ujarnya.