Malaysia akan terima 2 juta dos vaksin dari Jepun, AS

Malaysia akan terima sumbangan 1 juta dos vaksin AstraZeneca dari Jepun esok dan 1 juta lagi vaksin Pfizer-BioNtech dari Amerika Syarikat pada Jumaat. Gambar hiasan
Malaysia akan terima sumbangan 1 juta dos vaksin AstraZeneca dari Jepun esok dan 1 juta lagi vaksin Pfizer-BioNtech dari Amerika Syarikat pada Jumaat. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Malaysia akan menerima sumbangan 1 juta dos vaksin AstraZeneca dari Jepun pada Khamis dan 1 juta lagi vaksin Pfizer-BioNtech dari Amerika Syarikat pada Jumaat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sumbangan tersebut melambangkan keprihatinan kedua-dua kerajaan terhadap negara dalam memerangi krisis pandemik Covid-19.

“Kerajaan amat mengalu-alukan dan berterima kasih atas sumbangan vaksin dari kedua-dua negara iaitu Jepun dan Amerika Syarikat.

“Sumbangan ini melambangkan keprihatinan kedua-dua kerajaan serta kepercayaan mereka terhadap negara kita dalam memerangi ancaman wabak Covid-19 dan untuk menyokong program imunisasi global bagi membendung wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mingguan perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara dalam talian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, bekalan vaksin yang diterima itu bakal memperhebatkan lagi PICK dan seterusnya membantu negara mencapai nilai-nilai ambang yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kesemua vaksin yang telah diperoleh akan diedarkan segera ke fasiliti dan pusat simpanan vaksin seluruh negara untuk kegunaan PICK dalam masa yang terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, satu ciri baharu di aplikasi MySejahtera telah diperkenalkan untuk memudahkan permohonan vaksinasi bagi pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke luar negara.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, ciri baharu itu telah dikemaskini di aplikasi berkenaan dan boleh diakses oleh pengguna sejak 28 Jun lalu.

“Permohonan vaksinasi awal yang dihantar akan diproses oleh sistem dalam masa 10 hari dan statusnya boleh disemak selepas tempoh tersebut di dalam laman vaksinasi aplikasi MySejahtera pemohon.

“Permohonan perlu disertakan bersama dokumen sah yang boleh menyokong permohonan vaksinasi awal mereka,” katanya.

Tambahnya, dokumen yang sama perlu dibawa bersama ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi tujuan janji temu untuk pengesahan.

“Pengenalan ciri terbaru ini adalah memastikan kelancaran urusan kumpulan pelajar yang perlu memenuhi syarat vaksinasi sebelum dibenarkan masuk ke negara lain untuk memulakan atau meneruskan pembelajaran di pusat pengajian masing-masing,” katanya.