Black Democracy: Polis kawal laluan di Johor Bahru

Sekatan jalan raya di laluan utama sekitar bandar raya Johor Bahru.
Sekatan jalan raya di laluan utama sekitar bandar raya Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Beberapa laluan utama menuju ke Istana Bukit Serene dan lokasi strategik di bandar raya ini dikawal ketat anggota polis selepas tular satu rakaman video mengajak orang ramai berhimpun pada jam 12 tengah hari di beberapa lokasi pada Rabu.

Tinjauan dilakukan tengah hari tadi mendapati beberapa anggota polis ditempatkan berkawal di setiap susur masuk kawasan berkenaan terutama di Istana Bukit Serene selain terdapat sekatan jalan raya ( SJR).

Laluan ke Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Negeri Johor turut dikawal ketat dan hanya kenderaan yang mempunyai temu janji vaksin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada) sahaja dibenarkan melalui laluan itu.

Pada Selasa, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis akan melakukan pemantauan di kawasan istana dan beberapa lokasi strategik di negeri ini susulan tular rakaman video mengajak orang ramai berhimpun pada Rabu.

Anggota polis ditempatkan berhampiran laluan Istana Bukit Serene.
Anggota polis ditempatkan berhampiran laluan Istana Bukit Serene.

Menurut beliau, tiada lagi amaran akan diberikan sebaliknya tindakan kompaun di bawah Akta 342 akan dikenakan kepada mana-mana individu atau kumpulan yang didapati berhimpun.

Isnin lalu video berdurasi dua minit 40 saat tular di media sosial menyeru orang ramai menyertai operasi Black Democracy pada Rabu.

Menerusi video itu, seorang individu memakai topeng muka mengajak orang ramai berhimpun bagi membantah pelaksanaan 'lockdown' dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi 'operasi' dikenali sebagai Black Democracy.

Artikel Berkaitan: