X

Kindly register in order to view this article
!

Saran kerajaan Pahang biayai kos ujian calitan golongan berisiko

Muda Pahang saran kerajaan negeri biayai kos ujian calitan golongan berisiko. Gambar kecil: Malani Manimaharan
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang disarankan agar membiayai kos ujian calitan (swab test) secara percuma kepada golongan yang mudah terdedah kepada jangkitan Covid-19 di negeri ini melalui Tabung Covid-19 Negeri Pahang.

Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pahang, Malani Manimaharan berkata, pembiayaan kos ujian calitan itu termasuklah kepada pekerja pasar raya, pasar awam, kedai runcit, pekerja kilang, peniaga kecil, pekerja restoran, penghantar makanan dan penduduk di kawasan yang dikenal pasti.

Menurutnya, bagi tujuan itu, kerajaan negeri juga disaran agar melibatkan pihak swasta untuk turut sama menyumbang ke tabung tersebut bagi membiayai kos saringan Covid-19 secara percuma itu.

"Langkah ini dilihat sesuai untuk dilaksanakan ketika bekalan vaksin yang masih belum mengcukupi untuk capai 80 peratus kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat negeri ini.

"Sebagai rakyat, kita cukup bimbang dengan penularan kes di negeri ini terutama melibatkan penularan di tempat kerja, komuniti dan juga kes sporadik.

"Kewujudan kluster-kluster baharu termasuk melibatkan pasar raya, industri dan kluster komuniti yang menjadi penyumbang utama kes Covid-19 membuatkan rakyat berasa tidak selamat untuk berada di mana-mana sekalipun," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Malani berkata, kerajaan negeri Pahang perlu segera mengambil tindakan progresif untuk mengekang penularan Covid-19 supaya rakyat lebih yakin dan selamat.

"Saban hari kita lihat kes semakin meningkat walaupun berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Sekiranya isu ini gagal ditangani ia akan membawa kepada pelbagai masalah lain seperti pengangguran, ekonomi terjejas, kesihatan mental, kes bunuh diri, pendidikan terbantut dan sebagainya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!