Dua kilang dikompaun langgar SOP

Antara kilang yang diperiksa dalam pemeriksaan pematuhan SOP PKP bagi industri perkilangan di daerah Kuala Muda pada Selasa.
Antara kilang yang diperiksa dalam pemeriksaan pematuhan SOP PKP bagi industri perkilangan di daerah Kuala Muda pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua kilang masing-masing dikompaun RM10,000 selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan ketika pemeriksaan Ops Covid-19 yang dijalankan selama 11 jam bermula jam 8 pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 35 kilang dalam pemeriksaan pematuhan SOP PKP bagi industri kilang di Kuala Muda.

"Hasilnya, dua kilang masing-masing telah dikompaun RM10,000 yang dikenakan ke atas pemilik ataupun pengurus kilang.

"Yang pertama merupakan kilang kitar semula dan kedua ialah kilang makanan yang dikesan tidak melakukan penjarakan fizikal, tidak menyediakan cecair pembasmi kuman dan pengimbas suhu serta catatan kehadiran," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kamarul Zaman (tengah) mengetuai pemeriksaan pematuhan SOP PKP bagi industri perkilangan di daerah Kuala Muda pada Selasa.
Kamarul Zaman (tengah) mengetuai pemeriksaan pematuhan SOP PKP bagi industri perkilangan di daerah Kuala Muda pada Selasa.

Operasi di sekitar kawasan perindustrian Bakar Arang, Taman Ria Jaya (PKNK), Gurun dan Bedong ini diketuai Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Pemantauan itu melibatkan seramai 35 pegawai dan anggota pasukan pemantau Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dibantu pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah.