PBB desak Israel henti musnah harta benda rakyat Palestin

Gesaan itu dibuat sehari selepas Israel merobohkan sebuah kedai dan pangsapuri di kawasan Silwan, Baitulmaqdis Timur. Gambar hiasan
Gesaan itu dibuat sehari selepas Israel merobohkan sebuah kedai dan pangsapuri di kawasan Silwan, Baitulmaqdis Timur. Gambar hiasan
A
A
A

WASHINGTON - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Selasa mendesak rejim Israel menghentikan tindakan memusnahkan harta benda rakyat Palestin di Baitulmaqdis, lapor Agensi Berita Anadolu.

Guterres "amat bimbang dengan kemusnahan berterusan itu," kata jurucakap Stephane Dujarric kepada wartawan di ibu pejabat PBB di New York.

"Beliau sekali lagi menggesa Israel menghentikan tindakan mengusir dan memusnahkan sejajar dengan undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia," tambah Dujarric.

Gesaan itu dibuat sehari selepas Israel merobohkan sebuah kedai dan pangsapuri di kawasan Silwan, Baitulmaqdis Timur.

Israel mendakwa dua struktur bangunan di kawasan al-Bustan dan al-Suwayeh itu tidak mempunyai permit, kata penduduk setempat.

Tindakan Israel itu mencetuskan pertempuran antara rakyat Palestin dengan polis Israel, yang kemudian menembak gas pemedih mata dan peluru getah untuk menghentikan penunjuk perasaan.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, 13 anggota paramedik turut cedera.

Rakyat Palestin menuduh Israel meroboh bangunan di kejiranan Silwan, di selatan kompleks Masjid Al-Aqsa, bertujuan untuk mengusir penduduk Arab dan memberi keutamaan kepada pendatang Israel.

Artikel Berkaitan:

Dalam wawancara dengan Anadolu, Pengarah Pusat Wadi Hilweh, Jawad Siam, memberi amaran "sekitar 8,000 orang berisiko diusir secara langsung atau tidak langsung dari Silwan sama ada melalui tindakan meroboh atau mewujudkan penempatan" - Bernama