'Himpunan 8 Disember hanya sia-sia'

Dr Afif Bahardin
Dr Afif Bahardin
A
A
A

SEBERANG JAYA - Perhimpunan bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadualkan akan berlangsung minggu depan harus dibatalkan kerana ia telah menjadi satu perkara yang tidak wajar dan sia-sia.

Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin berkata, himpunan ini juga tidak harus diteruskan mengambil kira dengan insiden yang berlaku baru-baru ini di Seafield, Subang Jaya yang hampir mencetuskan ketegangan antara kaum dalam kalangan rakyat negara ini.

"Tindakan penganjur yang mahu meneruskan himpunan tersebut umpama cuba menuang minyak kepada bara yang sedang menyala.

"Kerajaan PH menyatakan pendirian jelas bahawa tidak akan menandatangani ratifikasi ICERD malah keputusan yang dibuat ini menyaksikan sudah tidak ada keperluan lagi untuk polemik ini dipanjangkan lebih-lebih lagi dengan penganjuran himpunan ini," katanya di sini semalam.

Dr Afif yang juga Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkata, dengan keputusan kerajaan, himpunan ini nanti akan hanya menjadi satu pekerjaan yang sia-sia, ibarat melepaskan batuk di tangga.

Artikel Berkaitan:


Beliau turut menyeru penganjur himpunan ini berfikir secara matang dan meletakkan kepentingan untuk menjaga keharmonian dalam kalangan rakyat sebagai keutamaan dan mengelakkan perhimpunan itu nanti digunakan sebagai medan provokasi dan mengapi-apikan soal perkauman sempit.

"Marilah bersama membela keharmonian yang kita kecapi selama ini," katanya.