Perlis benar solat jemaah di masjid

Perlis membenarkan umat Islam di negeri ini menunaikan solat berjemaah di masjid dengan pematuhan prosedur operasi standard (​SOP) ketat bermula esok (1 Julai). Gambar hiasan
Perlis membenarkan umat Islam di negeri ini menunaikan solat berjemaah di masjid dengan pematuhan prosedur operasi standard (​SOP) ketat bermula esok (1 Julai). Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Perlis membenarkan umat Islam di negeri ini menunaikan solat berjemaah di masjid dengan pematuhan prosedur operasi standard (​SOP) ketat bermula esok (1 Julai).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kebenaran tersebut mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19 di negeri ini.

“Semua masjid di negeri ini dibenarkan untuk menerima kehadiran jemaah dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid bermula waktu Subuh esok sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN),” titah baginda dalam kenyataan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Rabu.

Baginda yang juga Yang DiPertua MAIPs bertitah, semua jemaah perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan hanya terdiri daripada ahli kariah berusia 12 hingga 59 tahun sahaja.

“Bagaimanapun bagi jemaah yang berusia 60 tahun dan ke atas hanya mereka yang telah melengkapkan dos kedua vaksin Covid-19 dibenarkan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sebagai langkah kawalan, mereka terlibat dengan aktiviti rentas negeri termasuk yang berulang-alik bekerja pada setiap hari juga tidak dibenarkan.

Titah baginda, solat jenazah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dengan terhad kepada petugas dan keluarga terdekat sahaja dengan pematuhan SOP sepanjang masa.

“Semua aktiviti lain termasuk kuliah agama masih tidak dibenarkan, orang ramai boleh meneruskan kelas pengajian secara maya melalui Program ‘Perlis Mengaji’ yang disiarkan terus menerus di Laman Facebook MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suara Sunnah Channel selain siaran oleh Studio ISNAD Jabatan Mufti Negeri Perlis,” titah baginda. - Bernama

Artikel Berkaitan: