X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Segerakan sidang Parlimen, bincang tangani isu bunuh diri

Fuziah Salleh
A
A

KUANTAN - Persidangan Parlimen yang menjadi wadah untuk menggubal dasar perlu disegerakan.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, ini bagi membolehkan semua pihak berbincang untuk membendung gejala bunuh diri.

Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kes bunuh diri yang diramal meningkat jika dibiarkan.

"Jika kita lihat jumlah kes bunuh diri untuk suku pertama tahun ini menunjukkan trend yang amat menakutkan. Jumlah untuk tiga bulan pertama tahun ini melebihi daripada separuh keseluruhan kes bunuh diri pada tahun 2020.

"Bagaimana pula jumlah di akhir suku kedua pada hari ini? Bagaimana sekiranya kita ekstrapolasi sehingga ke hujung tahun? Adakah kemungkinan berlaku peningkatan 100 peratus kes bunuh diri dari tahun 2020? Jadi, sidang Parlimen perlu disegerakan bagi mengatasi perkara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Ahad lalu Fuziah membawa soalan Parlimen ke domain awam untuk meminta Menteri Kesihatan mendedahkan statistik bunuh diri yang terkini berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan jumlah bunuh diri untuk tiga bulan atau suku pertama tahun ini ialah seramai 336 kes dan sebanyak 631 kes bunuh diri dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, 609 kes pula dilaporkan untuk sepanjang tahun 2019.

Mengulas pendedahan itu, Fuziah berkata, ternyata jumlah kes bunuh diri jauh lebih tinggi daripada jangkaan sebelum ini.

Beliau berkata, sekiranya tiada langkah yang drastik dilakukan dengan segera mungkin jumlah kes bunuh diri akan bertambah.

"Saya khuatir dan mengandaikan trend ini (peningkatan) boleh menjadi kenyataan kerana ia seolah-olah seperti bom jangka yang menunggu masa meletup.

"Justeru, saya cadangkan semua elemen positif dalam negara melibatkan talian psikososial kerajaan dan badan sukarela perlu membantu dalam menangani permasalahan ini. Semua ini kena ada kerjasama yang erat," ujarnya.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)



Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!