Lapan tahun jual nasi bajet harga RM2.50

Hairul Haizat (kiri) bersama isterinya, Noor Shahirah (tengah) dan ibunya, Nora Kesuma di gerai jualan nasi bajet berdekatan Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus.
Hairul Haizat (kiri) bersama isterinya, Noor Shahirah (tengah) dan ibunya, Nora Kesuma di gerai jualan nasi bajet berdekatan Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - Biarpun berdepan pelbagai kekangan akibat pandemik Covid-19, peniaga nasi bajet berdekatan masjid Wakaf Tembesu di sini masih mengekalkan harga jualan RM2.50 bagi setiap sebungkus nasi sejak lapan tahun lalu.

Hairul Haizat Zali Armi, 24, berkata, dia bersama isteri, Noor Shahirah Ramli, 24, serta ibunya, Nora Kesuma Abu Bakar, 44, meneruskan perniagaan yang mula diusahakan bapanya, Zali Armi Mohd, 46, yang kini mengalami masalah jantung.

Katanya, walaupun jumlah pelanggan kini merosot 80 peratus, gerai jualan masih beroperasi saban hari bermula jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang kecuali Jumaat dan Sabtu

"Sebelum pandemik kami boleh jual dalam 400 bungkus nasi setiap hari, kini jualan nasi bajet laku sekitar 100 bungkus sahaja.

"Dengan kos bahan mentah yang hampir keseluruhannya naik, kami begitu terasa kerana nasi yang dijual masih mengekalkan harga asal iaitu RM2.50 sejak tahun 2014," katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Selasa.

Dalam pada itu, katanya, dia akan terus mengekalkan harga nasi yang dijual RM2.50 dan tidak mempunyai perancangan untuk menaikkan harga itu.

Noor Shahirah menunjukkan nasi bajet yang dijual pada harga RM2.50 sebungkus diusahakan keluarganya suaminya sejak 2014.
Noor Shahirah menunjukkan nasi bajet yang dijual pada harga RM2.50 sebungkus diusahakan keluarganya suaminya sejak 2014.

Selain nasi bajet, terdapat juga hidangan lauk lain seperti ikan keli, daging, ikan cencaru sambal, telur mata, kaki dan pedal ayam yang hanya dijual pada harga RM4 bagi setiap sebungkus hidangan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, harga itu akan dikekalkan walaupun harga ayam kini naik berganda berbanding ketika mula-mula berniaga.

Ditanya mengapa masih bertahan dengan harga lama, katanya, mereka tidak mahu membebankan pelanggan setia terutamanya kanak-kanak sekolah dan pekerja buruh.

"Perit macam mana sekali pun, kami akan terus berjuang untuk mengekalkan harga asal walaupun perniagaan kami dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini masih belum balik modal, kami tetap berpegang dengan niat asal iaitu berniaga dan dalam masa yang sama niat untuk membantu memberi makan orang lain.

"Dengan harga RM2.50 ini sekurang-kurangnya pelanggan kami dapat mengalas perut dengan hidangan lengkap pada waktu tengah hari," katanya.

Dalam pada itu, katanya, dia pernah menarik nafas lega ketika sesi persekolahan dibuka Mac lalu sebelum berlakunya peningkatan mendadak Covid-19 tahun ini.

"Masa sekolah buka dulu kami rasa amat lega kerana ketika itu pelanggan pun sudah ramai dan kanak-kanak sekolah juga ramai yang membeli nasi di sini untuk makan tengah hari sebelum menyambung kelas pada sebelah petang.

"Kini apabila sekolah ditutup dan kes Covid-19 naik mendadak, hanya Tuhan yang tahu betapa peritnya perasaan peniaga seperti kami yang tidak mempunyai punca pendapatan lain," katanya.