Had tempoh pegang jawatan Presiden bukan persoalan utama

Laporan Sukan Sinar pada 22 Jun lalu. Gambar kecil: Pekan Ramli
Laporan Sukan Sinar pada 22 Jun lalu. Gambar kecil: Pekan Ramli
A
A
A

HAD tempoh masa jawatan presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bukanlah sesuatu yang perlu diberikan keutamaan dalam usaha semua pihak mahu memajukan kembali sukan tersebut pada masa depan.

Sebaliknya menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli perkara utama yang perlu diberikan perhatian khusus adalah usaha menyatupadukan ahli gabungan yang telah berlaku serpihan bagi memastikan visi dan misi pembangunan peringkat akar umbi berjalan seiring matlamat persatuan.

“Kebiasaannya memaklumkan cadangan had tempoh masa memegang jawatan dalam persatuan atau pertubuhan merupakan antara perkara asas yang akan dilakukan mana-mana individu yang menawarkan diri bagi jawatan tertinggi.

“Tapi bagi saya secara peribadi, had tempoh masa dicadangkan oleh G12 merupakan sesuatu yang skeptikal dan kurang sihat malah sebaliknya yang boleh mengundang pelbagai masalah kepada PSM pada masa depan.

“Kita tentunya tidak mahu lagi perkara sama berulang dalam PSM, apabila had tempoh masa dijadikan antara keutamaan dalam agenda mereformasikan PSM

“Dalam pelbagai persatuan sukan antarabangsa pun jarang sekali tempoh masa sebagai Presiden atau peneraju ditetapkan tempohnya malah ada yang memimpin berpuluh-puluh tahun,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

12 bekas ahli gabungan badan induk sepak takraw negara itu yang lebih dikenali G12 sebelum ini menegaskan beberapa pembaharuan akan dilakukan antaranya menghadkan tempoh antara tiga hingga empat penggal sahaja bagi jawatan Presiden PSM.

“Tempoh tersebut sesuai untuk seseorang Presiden menggalas jawatan berkenaan selari perancangan jangka masa panjang untuk setiap empat tahun,” kata jurucakap G12, Zuraidin Abdullah pada 22 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Pekan berkata, ahli-ahli gabungan PSM yang sebenarnya perlu memainkan peranan cukup besar dalam membantu dan mengimbangi Presiden dalam merealisasikan agenda persatuan.

“Ahli-ahli gabungan perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu Presiden, dan bukannya menjadikan presiden lebih dominan dalam membuat sebarang keputusan.

“Sekiranya dalam kalangan ahli gabungan PSM masih lemah selepas melalui proses pembaharuan ini, tidak mustahil perkara sama akan berulang pada masa depan.

“Janganlah semua tanggungjawab persatuan itu diletakkan di bahu Presiden, inilah yang saya lihat berlaku sebelum ini apabila ahli gabungan perlu memainkan peranan sebenar masing-masing dan jangan hanya berani bercakap di belakang sahaja,” katanya lagi.