Nasihat Agong bukan remeh, sidang Parlimen wajar disegerakan

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah menghadap Rais dan Azhar Azizan di Istana Negara pada Selasa. Turut serta ialah Mohamad Ali, Azalina dan Mohd Rashid.
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah menghadap Rais dan Azhar Azizan di Istana Negara pada Selasa. Turut serta ialah Mohamad Ali, Azalina dan Mohd Rashid.
A
A
A

SHAH ALAM - Titah terkini Seri Paduka Baginda yang mengulangi sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin pada Selasa, bukan satu seruan remeh.

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (ITKAS), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, keperluan Perdana Menteri memenuhi hasrat Yang di-Pertuan Agong amat penting bagi memastikan status kepercayaan majoriti ahli Parlimen terhadap beliau tidak kembali dipalu.

Jelasnya, kewibawaan sebuah Jemaah Menteri pasti akhirnya boleh dipersoalkan jika dilihat tidak menghormati lain-lain institusi penting di bawah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu iaitu cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.

"Kenyataan Istana Negara bertarikh 29 Jun 2021 terungkap sama penyataan bahawa pendirian Yang di-Pertuan Agong adalah selaras dengan tanggungjawab sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

"Takrifan itu begitu tuntas menolak tafsiran jumud istilah 'Raja Berperlembagaan' bagi mereka yang mentafsirkan Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu seolah-olah boneka atau berwatak istiadat yang perlu mengikut telunjuk Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Peguam Negara.

"Frasa di atas juga menafikan tanggapan salah yang berkiblatkan sistem Westminster kononnya Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu tiada prerogatif untuk melaksanakan amanah di bawah Perlembagaan Persekutuan juga Undang-undang Tubuh Kerajaan masing-masing," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Kenyataan Istana Negara pada 16 Jun mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong mahu Parlimen dibuka semula secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan Ahli Parlimen.

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan buat kali ketiga melalui kenyataan Istana Negara pada Selasa susulan Speaker Parlimen, Datuk Azhar Azizan Harun, dua timbalannya, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Rashid Hasnon, serta Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Timbalannya, Mohamad Ali Mohamad, dipanggil ke Istana Negara, pagi Selasa.

Selain menyatakan bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadli Shamsuddin berkata Yang di-Pertuan Agong juga berpandangan semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen hendaklah meneruskan sesi mesyuarat untuk melaksanakan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

Sementara itu, Wan Ahmad Fauzi menegaskan naratif sistem Westminster dalam mentakrifkan struktur asas Perlembagaan Persekutuan secara mutlak wajar ditolak kerana struktur asas Perlembagaan yang diterima pakai oleh Mahkamah Persekutuan daripada keputusan Mahkamah Agung Kanada ternyata menuntut pemahaman betul merujuk tafsiran Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Semakan 1972).

"Ia bertitik tolak pada amalan dan doktrin watan yang perlu diutamakan dalam prinsip undang-undang," katanya.

Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain
Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

Wan Ahmad Fauzi turut menegaskan takrifan Yang di-Pertuan Agong perlu mengikut nasihat Perdana Menteri dan pandangan Peguam Negara berdasarkan peruntukan Perkara 143 (3) Perlembagaan Persekutuan, perlu difahami dengan betul selaras dengan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

"Doktrin nasihat tidak boleh ditafsirkan sesuka hati sehingga nasihat itu boleh disalah guna untuk kepentingan yang tidak sah, atau salah guna kuasa.

"Intipati suatu nasihat tidak boleh bercanggah dengan kemurniaan doktrin nasihat itu sendiri kerana penyampai nasihat itu ialah mereka yang melaksanakan fungsi kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong, di peringkat Persekutuan.

"Bukan hanya Yang di-Pertuan Agong perlu menjunjung ketertinggian Perlembagaan, bahkan Perdana Menteri tidak terkecuali.

"Perdana Menteri mesti menyampaikan nasihat yang betul, yang selari dengan prinsip Perlembagaan kerana beliau dan ahli Pentadbiran Kerajaan juga bersumpah di bawah Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Tambah Wan Ahmad Fauzi, kenyataan Istana Negara dan Penyimpan Mohon Besar Raja-Raja pada 16 Jun lalu bukanlah pandangan biasa dan tidak boleh diremeh-remehkan.

"Barangkali Perdana Menteri dan Jemaah Menteri teralpa, Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu telah bertindak menyampaikan nasihat dalam bentuk yang mesra.

"Nasihat itu merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang terjamin di bawah Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan untuk menegur Jemaah Menteri agar menghormati kedudukan dan fungsi setiap cabang kuasa iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Saran sektor perkilangan ditutup menyeluruh

'Jajaran Harapan' waktu krisis bakal cetus kemarahan rakyat