Nostalgia rumah kayu tahun 80-an

Mohd Rozamil memanfaatkan waktu terluang dengan melakar lukisan pada dinding rumah kedai miliknya di Kampung Raja Barang, Chendering, Kuala Terengganu.
Mohd Rozamil memanfaatkan waktu terluang dengan melakar lukisan pada dinding rumah kedai miliknya di Kampung Raja Barang, Chendering, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Idea kreatif seorang pelukis melakukan transformasi terhadap sebuah rumah kedai menjadi rumah kayu dengan latar belakang suasana kampung sekitar 1980-an menarik perhatian ramai sehingga tular di media sosial.

Hasil lakaran lukisan mural itu dapat dilihat pada struktur rumah kedai miliknya di Kampung Raja Barang, Chendering di sini sekali gus berjaya menarik perhatian ramai selepas ia dimuat naik di media sosial Facebook.

Mohd Rozamil Mohd Yatim, 36, berkata, dia mendapat idea untuk mengubah pemandangan pada bentuk asal kediaman itu sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut Mohd Rozamil, pada mulanya dia hanya bercadang untuk melukis pada bahagian tertentu rumah berkenaan, namun mendapat sokongan ramai supaya melengkapkan lukisan meliputi keluasan 9 meter lebar x 3 meter tinggi rumah berkenaan.

“Idea ini datang sejak PKP kali ini memandangkan saya tidak boleh melakukan kerja seperti biasa. Saya terfikir untuk mengisi waktu lapang dengan menghasilkan sebuah kediaman yang dapat mengimbau kembali nostalgia dan pemandangan lama.

“Suasana rumah kampung begini sudah tentu menggamit kenangan bagi mereka yang memandangnya terutama mereka yang membesar dalam suasana kampung suatu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Rozamil berkata, lukisan yang disiapkan dalam tempoh seminggu itu hanya menggunakan kos kira-kira RM100 dan dijangka mampu bertahan dalam tempoh lima tahun.

“Saya manfaatkan sepenuhnya barangan yang sedia ada,” katanya yang menggunakan nama pena Zameer Pentbrush di Facebook.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, hasil karya itu adalah percubaan pertama bagi seni lukisan dinding yang sudah ditinggalkan sejak 10 tahun lalu kerana memberi fokus kepada seni serta lakaran halus bagi barangan seperti topi keledar, motosikal dan lain-lain.

Sebelum ini, hasil karya bapa kepada dua cahaya mata itu pernah tular selepas dia mengabadikan potret pemimpin negara serta wira barisan hadapan yang berjuang melawan pandemik Covid-19 pada topi keledar.

Antara wajah yang diabadikan pada lukisan ialah potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hasil karyanya.

Sebahagian daripada elemen dan pemandangan yang menggamit nostalgia yang diterapkan pada lukisan hasil lakaran Mohd Rozamil.
Sebahagian daripada elemen dan pemandangan yang menggamit nostalgia yang diterapkan pada lukisan hasil lakaran Mohd Rozamil.