LTSAAS hanya tunggu ‘lampu hijau’

LTSAAS menjadi topik panas baru-baru ini berikutan timbul desas-desus yang ia bakal dijual kepada syarikat swasta.
LTSAAS menjadi topik panas baru-baru ini berikutan timbul desas-desus yang ia bakal dijual kepada syarikat swasta.
A
A
A

SHAH ALAM - Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang berjaya mencatat perolehan tinggi pada tahun lalu dijangka kekal sebagai aset strategik kerajaan terutamanya dengan pelan regenerasi lapangan terbang berkenaan.

Sinar Harian difahamkan, konsep untuk pelan utama (masterplan) bagi pelan regenerasi dan proses pembangunan LTSAAS telah berjaya disiapkan oleh pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan sudah dua tahun dalam peringkat perbincangan.

Malah pelan utama itu juga telah diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dan pihak MAHB kini sekadar menunggu kelulusan daripada pihak kerajaan untuk melaksanakannya.

Sementara itu, Ketua KLIA Aeropolis MAHB, Randhill Singh berkata, menerusi pelan pembangunan tersebut, sasaran untuk LTSAAS menjana pendapatan melebihi RM10 bilion setahun kepada ekonomi negara adalah realistik.

Randhill berkata, terdapat dua parameter atau anggaran yang diletakkan dalam pelan pembangunan semula LTSAAS iaitu pertamanya menerusi perolehan operator-operator di LTSAAS sedia ada sebanyak RM5.7 bilion yang telah pun berjaya dicapai pada 2020.

Katanya, anggaran kedua bagi mendapatkan perolehan baik yang bakal dijana menerusi pelan regenerasi LTSAAS adalah meliputi proses kerja-kerja menaik taraf tahap kemudahan atau fasiliti di lapangan terbang tersebut.

Pelan pembangunan LTSAAS yang sudah dua tahun disiapkan dan masih dalam proses perbincangan untuk mendapatkan kelulusan.
Pelan pembangunan LTSAAS yang sudah dua tahun disiapkan dan masih dalam proses perbincangan untuk mendapatkan kelulusan.

Menurut beliau, berdasarkan kajian pihak konsultan sekiranya kerja-kerja menaik taraf fizikal berjaya dilaksanakan mengikut fasa-fasa ditetapkan, LTSAAS mampu melonjak tambahan perolehan sedia ada kepada RM5.4 bilion seterusnya menjadikan perolehan melebihi RM10 bilion setahun bakal dicapai.

Artikel Berkaitan:

Hangar dan fasiliti “Kita akan membina lebih banyak fasiliti atau kemudahan untuk disewakan kepada operator-operator yang ada di LTSAAS, selain membaik pulih serta menambah perkhidmatan melibatkan penyelenggaraan, pembaikan dan bekalan operasi.

“Usaha ini termasuklah menambah bilangan hangar, bengkel, assembly centre serta kilang ruang angkasa yang akan dibangunkan menerusi proses meroboh dan membina semula kemudahan airside yang terletak berhadapan landasan kapal terbang.

“Selain itu, pembangunan greenfield di Subang Aerotech Park meliputi kawasan seluas 60 ekar di mana infrastruktur telah pun siap dibina,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Randhill berkata, sekiranya lebih banyak kemudahan atau fasiliti terbaik dapat disediakan bagi menampung permintaan pihak operator, maka jumlah operator akan bertambah sekali gus menjana pendapatan lebih baik buat LTSAAS.

Jelasnya, terdapat 60 operator yang berada di lapangan terbang tersebut pada masa ini dan jumlah itu dijangka meningkat sekali ganda iaitu 30 hingga 50 operator lagi apabila hangar dan fasiliti yang lebih efisien serta kemudahan optimum bakal siap dibangunkan.

Katanya lagi, LTSAAS berjaya mencatat peningkatan empat kali ganda pertumbuhan jumlah operator sejak 15 tahun lalu bermula 2005 dan kini ia diiktiraf sebagai hab aeroangkasa negara.

Randhill Singh
Randhill Singh

LTSAAS telahpun menarik syarikat-syarikat asing seperti Spirit Aerosystems, Airbus, Leonardo, Skyways Technik dan banyak lagi.

Ini telah berjaya mencetuskan rangkaian syarikat tempatan menyokong sektor aeroangkasa yang merupakan satu sektor bernilai dan berteknologi tinggi. Malah sejumlah besar daripada syarikat aeroangkasa tempatan adalah syarikat Bumiputera dan lebih 90 peratus pekerja adalah pekerja tempatan berkemahiran tinggi.

Selain itu katanya, permintaan yang diterima LTSAAS terutama melibatkan kemudahan hangar adalah sangat besar.

Tambah beliau, permintaan sebanyak 70 peratus telah diterima daripada syarikat yang berminat untuk beroperasi di kawasan yang bakal dibangunkan semula di bawah pelan regenerasi LTSAAS.

Lapangan terbang di Subang itu menjadi topik panas sejak beberapa bulan lalu berikutan terdapat desas-desus bahawa hartanah LTSAAS akan dijual kepada sebuah syarikat swasta.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan pada Jumaat berkata, kerajaan tidak berhasrat menjual LTSAAS kepada mana-mana pihak sekali gus menolak spekulasi yang kini hangat diperkatakan.