Siasat individu hina Pemangku Raja Pahang

Fadzli (tiga dari kanan) bersama pemimpin-pemimpin muda yang tampil membuat laporan polis di IPD Raub pada Selasa.
Fadzli (tiga dari kanan) bersama pemimpin-pemimpin muda yang tampil membuat laporan polis di IPD Raub pada Selasa.
A
A
A

RAUB - Beberapa pemimpin muda di Raub tampil membuat laporan polis berikutan tindakan pengguna media sosial menghina Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Raub, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sebanyak lima laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub kira-kira jam 10.30 pagi pada Selasa.

Menurutnya, selain beliau, turut tampil antaranya Pengerusi Ummah Raub, Mohd Shahrizan Md Esa; Pengerusi Majlis Belia Daerah Raub, Mohamad Zakri Hamzah; Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Mempaga, Shaiful Zahari Ismail dan Naib Ketua Pemuda Pas Raub, Nurafwan Ghani Roshhlan Noor.

Menurutnya, Pemuda UMNO Raub, Pemuda Pas Raub, Ummah Raub, Majlis Belia Daerah Raub dan Majlis Belia Felda Wilayah Mempaga sebulat suara menolak dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab pengguna media sosial tersebut yang berniat jahat memperlekeh institusi diraja di negara ini.

"Tindakan biadab sebegini harus dihentikan serta-merta agar tidak terus meracuni dan mempengaruhi pola pemikiran generasi muda hari ini.

"Anak muda perlu sedar bahawa tindakan ini adalah salah dan tidak boleh dilakukan oleh sesiapa pun di negara ini," katanya pada Sinar Harian.

Wajah Tengku Hassanal yang diubahsuai dengan kata-kata kesat telah dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter sejak beberapa hari lalu.

Ujarnya, mereka turut menggesa supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pelaku media sosial yang tidak bertanggungjawab itu untuk dihadapkan ke muka pengadilan sekali gus dikenakan tindakan tegas.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa yang sama, kami menjunjung kasih dan berikrar akan mempertahankan institusi raja yang memayungi rakyat di negara ini.

"Komitmen ini adalah selari dengan prinsip kedua yang digariskan dalam Rukun Negara iaitu 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara'," jelasnya.