X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

35,000 pekerjaan dalam industri seni dan kreatif bakal ditawarkan

Datuk Saifuddin Abdullah
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 35,000 pekerjaan bakal diwujudkan dalam industri seni dan kreatif menerusi peruntukan RM100 juta bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, manfaat Pemulih dinikmati oleh penggiat industri kreatif negara melalui jabatan serta agensi di bawah kementeriannya seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (Cendana).

"Inisiatif ini menyasarkan lebih 8,000 penerima manfaat dalam pelbagai bidang antaranya penyanyi, pemuzik, pelakon, penulis skrip, pencipta lagu, penggiat teater, artis seni persembahan, syarikat penerbitan dan kru produksi dan teknikal di belakang tabir.

"Peruntukan ini juga akan digunakan untuk meneruskan program-program di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) yang sedang dilaksanakan sejak Februari lepas," katanya semasa sesi pemakluman secara maya penerima surat tawaran Dana Kandungan Digital (DKD) pada Selasa.

Saifuddin berkata, jabatan serta agensi-agensi terbabit akan melaksanakan 14 inisiatif utama dalam bentuk kemudahan pembiayaan, pembangunan kapasiti, akses pasaran dan promosi serta produksi di televisyen dan radio.

Selain itu, Saifuddin berkata 11,460 tenaga kerja di bawah syarikat-syarikat produksi penerima DKD bakal menerima caruman perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui Inisiatif Caruman Tenaga Produksi.

Jelas beliau, kementeriannya terlibat secara langsung dalam pelaksanaan dua daripada tiga fokus utama PEMULIH, iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong perniagaan dengan memberi fokus kepada kesalinghubungan Internet, keusahawanan digital, kelangsungan industri kreatif serta kesihatan mental.

Katanya, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi bersetuju untuk sekali lagi melanjutkan perkhidmatan pemberian satu gigabit data harian secara percuma bermula 1 Ogos hingga 31 Dis ini yang dianggarkan bernilai RM500 juta dengan 44 juta pelanggan berdaftar bakal mendapat manfaat.

Melalui Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (Pupuk), kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 800,000 usahawan menerima guna pendigitalan dan seterusnya terlibat aktif dalam ekonomi digital.

"Kementerian melalui kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding bersama-sama pemain industri dan platform-platform e-dagang menyasarkan manfaat kepada lebih 300,000 peniaga mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana daripada pelbagai kumpulan dengan peruntukan sebanyak RM200 juta," katanya.

Sejajar dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) dalam pertanian, Saifuddin berkata Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian (Digital AgTech) dengan usaha sama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan Pertubuhan Peladang Kawasan, akan melatih 250 usahawan tani khususnya di luar bandar beralih ke platform ekonomi digital bagi meningkatkan hasil perniagaan dan penjualan secara dalam talian untuk meraih pendapatan lebih lumayan.

Saifuddin berkata, ketika menghadapi situasi tidak menentu akibat pandemik Covid-19, kerajaan menyedari keperluan sokongan psikososial, dan sehubungan itu, RTM mengadakan slot khas kesihatan mental yang disiarkan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia setiap hari.

Beliau juga berharap peruntukan sebanyak RM15 juta kepada badan-badan bukan kerajaan sebagai rakan strategik kerajaan untuk menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan dan masalah sosial lain di peringkat komuniti, dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.

"Saya yakin Pelan Pemulihan Negara secara berperingkat yang disokong dengan PEMULIH untuk membela kelangsungan hidup rakyat dan kelestarian pelbagai industri yang terkesan oleh pandemik Covid-19 mampu membawa kita keluar daripada pandemik ini.

"Pada masa sama, kita juga perlu mengambil peluang dan kemudahan yang disediakan terutamanya dalam pendigitalan, e-dagang dan industri kreatif, untuk terus meningkatkan kemahiran ekonomi digital serta memperkaya penghasilan karya tempatan," katanya. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!