MAT perlu kenal pasti cara jaga kebajikan veteran ATM

Abdullah Mohamed (kiri) ketika sidang media veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Menara MPAJ hari ini. - Foto Bernama
Abdullah Mohamed (kiri) ketika sidang media veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Menara MPAJ hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Angkatan Tentera (MAT) diminta melaksanakan beberapa pendekatan baharu bagi memastikan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa terpelihara.

Brig Jen (B) Datuk Abdullah Mohamed yang mewakili sekumpulan veteran ATM berkata sebagai contoh, MAT perlu mengkaji kadar pencen kurang upaya bagi veteran yang cedera sesuai dengan pengorbanan mereka kepada negara.

"MAT juga perlu lebih prihatin... gaji dan pencen ATM tidak boleh dinilai hanya dengan kelulusan ijazah tetapi turut melihat daripada latihan dan pengalaman," katanya pada sidang akhbar yang dihadiri beberapa veteran ATM di bangunan Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata MAT juga perlu mewujudkan satu sistem dan kaedah untuk memberi pengampunan mengikut masa kepada bekas pegawai dan anggota yang diberhentikan atas sebab tatatertib mengikut merit masing-masing.

"Tindakan MAT tidak mengampunkan kesalahan bekas-bekas tentera ini seolah-olah memberi 'hukuman mati' bukan sahaja kepada mereka tetapi isteri serta anak mereka.

"Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) juga perlu distruktur semula dan diletakkan di bawah Markas ATM," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: