Pemulih pelihara kebajikan pekerja, majikan

Datuk Seri M Saravanan - Foto Bernama
Datuk Seri M Saravanan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dijangka dapat memelihara kebajikan pekerja dan majikan yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memastikan semua inisiatif di bawahnya dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Inisiatif tersebut akan dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Human Resources Development Corporation (HRD Corp) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bermula 1 Julai ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan Pemulih bernilai RM150 bilion bertujuan untuk membantu rakyat yang mengalami kesusahan ketika pandemik Covid-19.

Menurutnya, pelaksanaan Program Subsidi Upah 4.0 (PSU 4.0) akan dapat meringankan beban kewangan majikan dan mengurangkan risiko kehilangan pekerjaan.

“Dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion, PSU 4.0 dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja menerusi kadar subsidi upah RM600 yang disalurkan kepada majikan yang terjejas.

“Bantuan ini disediakan bagi tempoh empat bulan iaitu dua bulan pertama untuk semua sektor perniagaan dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor dalam kategori senarai negatif.

“PSU 4.0 juga dijangka beri manfaat kepada pekerja golongan M40 kerana subsidi upah ini terbuka kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji, tertakluk pada maksimum 500 pekerja bagi setiap perusahaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Saravanan berkata, PenjanaKerjaya 3.0 dijangka menyumbang sebanyak 180,000 penempatan pekerjaan sehingga akhir 2021, menerusi usaha merangsang pewujudan pekerjaan baharu dan pengambilan pekerja oleh majikan.

Jelas beliau, had kelayakan gaji dalam program Malaysianization dikurangkan daripada RM1,500 ke RM1,200 sebulan.

“Manakala tempoh kontrak penggajian pekerja berumur 50 tahun ke atas, golongan orang kurang upaya (OKU) dan bekas banduan dikurangkan daripada 12 ke enam bulan.

“Insentif kepada Agensi Pekerjaan Swasta yang menyokong usaha pencarian pekerjaan diluaskan ke kategori pekerja berkemahiran rendah (bergaji RM3,000 dan ke bawah) dengan insentif RM100 bagi setiap penempatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pemulih juga bantu golongan bukan pencarum Perkeso yang hilang pekerjaan menerusi perluasan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) di bawah program Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Prihatin.

“Golongan sasaran seperti graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal perlu mendaftar di portal MYFutureJobs bagi menerima elaun tersebut.

“Pencari kerja yang dapat menghadiri tiga temu duga dalam tempoh sebulan akan menerima elaun sebanyak RM300 selama dua bulan, disusuli tambahan elaun sebanyak RM400 jika berjaya memperoleh pekerjaan,” jelasnya.

Selain itu, Saravanan turut menjelaskan seramai 30,000 orang lepasan sekolah dan graduan dijangka terima manfaat daripada program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan apabila inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur dilaksanakan HRD Corp dengan peruntukan sebanyak RM125 juta.

Menurutnya, pengecualian dua bulan levi HRD Corp diberi secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi semasa Sekatan Pergerakan Penuh.

“Manakala majikan sektor-sektor baharu di bawah peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 akan mendapat pelanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember 2021.

“Majikan berdaftar di bawah HRD Corp boleh menggunakan baki levi semasa hingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin Covid-19,” katanya.

Saravanan turut menyambut baik keputusan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPK selama tiga bulan untuk meringankan beban peminjam.

Pada masa sama, tambah beliau, lebih 8,000 penggiat seni tanah air termasuk artis, pemuzik, pelakon, penggiat teater dan krew produksi yang terkesan akan menerima kemudahan pembiayaan bagi caruman perlindungan Perkeso untuk memelihara kebajikan mereka.