Malaysia perlu undang-undang pemilikan benefisiari: SPRM

Azam ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada hari pertama Program Latihan Antarabangsa secara bersama di antara SPRM dan Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsas (IAACA) yang dijalankan secara dalam talian pada Selasa.
Azam ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada hari pertama Program Latihan Antarabangsa secara bersama di antara SPRM dan Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsas (IAACA) yang dijalankan secara dalam talian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpendapat Malaysia perlu mempunyai undang-undang berkaitan pemilikan benefisiari di atas garis panduan mengenai peraturan seperti yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Benefisiari merupakan pihak berkepentingan atau pemilik sebenar dalam sesuatu proses seperti pemilikan harta dan aset.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, SPRM ditugaskan melaksanakan 12 inisiatif dan antara usaha berkenaan ialah membuat peruntukan baharu di bawah Akta SPRM 2009 sedia ada bagi mengetengahkan masalah pemilikan benefisiari berkaitan perolehan awam.

“Sehubungan itu, tidak diragukan lagi bahawa badan-badan antirasuah perlu selalu memperuntukkan anggaran dan masa yang mencukupi untuk latihan dan pembangunan modal insan.

“Tidak ada gunanya untuk terus melakukan penyelidikan berdasarkan pendekatan konvensional dan tidak mengikuti trend teknik penyiasatan terkini dan modus operandi individu yang korup.

“Di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Menentang Rasuah (UNCAC), disebutkan secara spesifik dalam Artikel 36, bahawa semua pihak harus memberikan latihan dan sumber daya yang sesuai kepada petugas badan pencegahan rasuah untuk menjalankan tugas mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Program Latihan Antarabangsa secara bersama di antara SPRM dan Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) yang dilaksanakan secara dalam talian pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak tahun lalu, SPRM telah mengendalikan operasi, pencegahan, penjangkauan dan latihan melalui ruang siber.

Artikel Berkaitan:

“Saya gembira dapat berkongsi sesi program ini dengan dua rakan penting SPRM, iaitu IAACA dan Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

“Ini adalah langkah yang sangat baik kerana program latihan ini dapat menjangkau khalayak yang lebih luas di seluruh pelosok dunia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Latihan IACA dan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (ICAC), Hong Kong kerana menjadi rakan kongsi yang tidak ternilai dalam penganjuran acara ini,” ujarnya.