Kes lucut hak hampir RM16 juta Ahli Parlimen Baling 8 Oktober

Abdul Azeez Abdul Rahim. - Foto Bernama
Abdul Azeez Abdul Rahim. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes saman terhadap keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan syarikat mereka bagi melucut hak hampir RM16 juta ditetapkan pada 8 Oktober ini.

Dalam saman yang difailkan pada September 2019 itu, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad semasa dihubungi berkata, kes itu yang pada mulanya ditetapkan untuk didengar Selasa (hari ini) ditangguhkan berikutan Fasa Satu Kawalan Pergerakan dan Pelan Pemulihan Negara.

"Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudiannya menetapkan tarikh perbicaraan baharu iaitu pada 8 Okt semasa prosiding berlangsung secara dalam talian pada Selasa," katanya.

Berdasarkan senarai kausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez dan empat anak mereka dan satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Pada 18 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan keluarga berkenaan untuk menangguhkan prosiding saman kerajaan itu sementara perbicaraan kes rasuah Abdul Azeez yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen di sini selesai.

Abdul Azeez, 54, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Perbicaraan itu bagaimanapun, ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan. - Bernama

Artikel Berkaitan: