Lokasi penagih dadah di Gunung Keriang diserbu polis

Ahmad Shukri (kiri) memeriksa penagih yang ditahan dalam serbuan di Gunung Keriang, Alor Setar pada awal pagi Isnin.
Ahmad Shukri (kiri) memeriksa penagih yang ditahan dalam serbuan di Gunung Keriang, Alor Setar pada awal pagi Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 35 penagih dadah tidak sempat melarikan diri ketika polis menyerbu kawasan semak yang dikenal pasti sebagai lokasi menghisap dadah di Gunung Keriang dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, operasi bermula jam 5 pagi sehingga 1 petang itu menyaksikan kesemua penagih dadah ditahan termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan bisu.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil intipan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar selepas mendapat maklumat berhubung kawasan itu yang dipercayai menjadi sarang penagihan dadah.

“Hasil daripada Ops Sarang yang dijalankan, polis menahan seramai 35 penagih dadah berusia 23 hingga 60 tahun. Mereka turut dikenakan kompaun mengikut Akta 342 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana keluar dari rumah tanpa sebarang alasan munasabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ahmad Shukri berkata, kebanyakan penagih dadah tersebut bekerja sebagai petani, bekerja sendiri dan penganggur.

“Semakan mendapati penagih yang ditahan datang dari kawasan sekitar Alor Setar dan Simpang Empat yang jaraknya lebih kurang 23 kilometer dari Gunung Keriang untuk menagih dadah,” ujar beliau.

Menurutnya, daripada keseluruhan penagih yang ditahan, seramai sembilan daripadanya melakukan kesalahan berulang sebanyak dua kali di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, mereka akan diambil tindakan bawah Seksyen 39C akta sama (penalti lebih berat) yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun, serta tidak melebihi tiga sebatan.

Artikel Berkaitan:

"Tiga daripada mereka pula merupakan orang yang dikehendaki di Alor Setar; Johor Bahru, Johor dan Kajang, Selangor kerana kesalahan dadah. Kesemua yang ditangkap akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat selepas siasatan selesai,” katanya.

Tambah beliau, tiga daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 manakala selebihnya di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.