Sila log masuk terlebih dahulu.

'Saya tidak berputus asa dengan Jeremiah'

Jeremiah Loo. - Foto Bernama
Jeremiah Loo. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET gimnastik Jeremiah Loo Phay Xing yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo, adalah satu contoh mengapa seseorang itu tidak boleh mudah berputus asa.

“Saya mahu berhenti”. Ia merupakan antara kata-kata yang sering dinyatakan Jeremiah, selepas beliau mengalami kecederaan bahu yang teruk ketika latihan pada Jun 2019.

Namun berkat usaha jurulatih gimnastik lelaki negara Ng Shu Liang, beliau berjaya memujuk atlet itu untuk tidak bersara awal, sebaliknya terus mengalakkan beliau untuk terus berlatih bersungguh-sungguh.

Ketika Jeremiah alami kecederaan, Shu Liang berkata, beliau hanya mempunyai satu tugas ‘membina semula’ atlet gimnastik berusia 23 tahun itu, dan pastikan beliau kembali beraksi.

“Walaupun cedera, Jeremiah terus mewakili Malaysia pada Sukan SEA Manila 2019, dan menyebabkan kecederaan bahunya semakin teruk. Walaupun beliau seorang atlet yang bagus, namun beliau kecewa selepas gagal membawa pulang sebarang pingat untuk Malaysia di Manila.

“Kemudian bermulalah proses pemulihan beliau selepas Sukan SEA, sehingga beliau pulih Ogos lepas, sememangnya ia satu tempoh yang sukar untuk Jeremiah, kerana beliau hampir berhenti dari gimnastik,” kata Shu Liang kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Jurulatih berusia 38 tahun itu menjelaskan, beliau tidak pernah berputus asa dengan Jeremiah, dan terus menggalakkan beliau, “kerana saya nampak postensi besarnya dan kualiti baik yang menjadikannya seorang daripada atlet gimnastik negara yang terbaik.”

“Saya telah melakukan usaha yang banyak bagi meyakinkan Jeremiah untuk kekal - saya tidak pernah putus asa dengannya,” kata Shu Liang.

Artikel Berkaitan:

Keyakinan dan kesabaran Shu Liang akhirnya membuahkan hasil, selepas Jeremiah yang berasal dari Pulau Pinang itu, layak ke Sukan Olimpik Tokyo yang akan berlangsung dari 23 Julai ke 8 Ogos.

Setiausaha Agung Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril dalam satu kenyataan lewat malam tadi, mengesahkan slot Jeremiah untuk acara ‘all-around’ lelaki, berdasarkan kepada keputusan penyertaannya di Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Stuttgart, Jerman pada Oktober 2019.

Dalam keadaan bahunya yang cedera, Jeremiah menduduki tempat ke-87 dengan 76.664 mata dalam acara ‘all-around’ dalam kelayakan pada kejohanan dunia itu, yang menjadi kejohanan kelayakan ke Tokyo.

Jurulatih kelahiran Perak itu mengakui, yang beliau terkejut apabila menerima berita kelayakan Jeremiah ke Tokyo, menerusi seorang rakan, malam tadi.

“Saya minta Jeremiah untuk turun ke lobi, untuk berkongsikan berita baik itu,” kata Shu Liang yang ketika ini tinggal di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, untuk latihan berpusat dalam kuarantin.

Shu Liang yang menganggap kelayakan Jeremiah itu, satu kejayaan besar untuk atlet itu sejak beliau mula menjadi jurulatih kebangsaan pada 2007 berharap, atlet itu akan dapat mengatasi mata abangnya Ng Shu Wai, 54.649 dan menduduki tempat ke-38 daripada 98 gimnastik dalam acara ‘all-around’ pada pusingan kelayakan Olimpik Athens 2004.

Shu Liang menyasarkan Jeremiah untuk sekurang-kurangnya mencatatkan 78 atau 79 mata pada acara itu di Pusat Gimnastik Ariake di Tokyo. (Acara all-around lelaki mempunyai enam displin. 24 gimnas terbaik akan layak ke peringkat akhir all-around.)

Dengan kelayakan Jeremiah, Malaysia kini mempunyai 24 atlet dari lapan jenis sukan, termasuk ratu gimnastik artistik Farah Ann Abdul Hadi bertanding di Tokyo, dengan beberapa lagi atlet kebangsaan masih menunggu untuk layak ke sukan itu. -Bernama