Sila log masuk terlebih dahulu.

Kapal berlabuh tanpa kebenaran ditahan Maritim Malaysia

Kapal tangki New Laurel yang berdaftar di Hong Kong dikesan oleh pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) semasa rondaan udara OP Benteng Laut di sepanjang perairan Selat Melaka.
Kapal tangki New Laurel yang berdaftar di Hong Kong dikesan oleh pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) semasa rondaan udara OP Benteng Laut di sepanjang perairan Selat Melaka.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan negeri ini pada tengah hari, Isnin.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal tangki New Laurel yang berdaftar di Hong Kong itu dikesan oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semasa rondaan udara OP Benteng Laut di sepanjang perairan Selat Melaka.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat mengenai kapal tangki terbabit kira-kira jam 12 tengah hari, Kapal Maritim (KM) Burau yang sedang melaksanakan rondaan OP Pertiwi diarah ke lokasi di kedudukan kira-kira 57 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

"Semasa pemeriksaan, nakhoda kapal tersebut enggan memberikan kerjasama, malah cuba melengah-lengahkan pemeriksaan serta melakukan provokasi ketika cuba diperiksa dan ditahan.

"Kapal tersebut dikatakan dalam perjalanan dari Terminal Fateh, Emiriah Arab Bersatu ke Singapura itu dikendalikan oleh 27 kru termasuk nakhoda," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Abd Razak berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 27 kru termasuk nakhoda terdiri dari warga Korea Selatan, Filipina dan China yang kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Bagaimanapun katanya, nakhoda kapal itu telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta gagal memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia.

Katanya, nakhoda dan dua kru kemudiannya dibawa ke ibu pejabat Maritim Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Mereka juga boleh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Sementara itu, Abd Razak turut menasihatkan kepada semua pemilik kapal, nakhoda serta agen perkapalan supaya memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki dan bersauh di perairan Malaysia.

Tambahnya, menjadi tanggungjawab mereka memberikan kerjasama penuh jika diminta untuk diperiksa.

Jelasnya, tindakan secara ‘force boarding’ menggunakan helikopter akan dilakukan sekiranya pihak terbabit enggan memberi kerjasama termasuk menyabitkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.