Dana RM46.99 juta untuk 81 syarikat produksi

Saifuddin Abdullah - Foto Fail Bernama
Saifuddin Abdullah - Foto Fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 81 syarikat produksi menerima Dana Kandungan Digital (DKD) membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM46.99 juta, antara lain untuk membantu penggiat industri seni dan kreatif negara yang terjejas oleh penularan pandemik Covid-19, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau memberitahu, penawaran DKD kali ini merangkumi empat kategori iaitu Dana Filem Cereka, Dana Dokumentari, Dana Pemasaran serta Dana Program TV/OTT kerjasama khas dengan Astro yang kesemuanya dijangka mewujudkan 3,175 peluang pekerjaan.

"Inisiatif DKD ini juga untuk membolehkan penggiat industri kreatif mengoptimumkan potensi industri kandungan kreatif di pasaran domestik dan global.

"DKD juga berupaya membangunkan kandungan kreatif yang berdaya saing sebagai sumber pendapatan negara dalam mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi, sekali gus meningkatkan penghasilan harta intelek kandungan kreatif Malaysia yang berdaya saing," katanya pada sesi pemakluman secara maya penerima surat tawaran DKD hari ini.

Saifuddin berkata, inisiatif DKD itu dilaksanakan untuk memudahkan dan menggalakkan penggiat industri kreatif dalam penghasilan, penerbitan serta penyebaran kandungan kreatif yang berdaya cipta tinggi serta mengoptimumkan potensi industri kandungan kreatif di pasaran domestik dan global.

DKD kali ini ialah lanjutan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) yang dilancarkan pada 5 Februari lepas untuk membantu penggiat industri terjejas oleh pandemik Covid-19 bangkit semula meneruskan kelangsungan dan kelestarian industri kreatif negara, katanya.

Tambah beliau, kementeriannya akan sentiasa membantu penggiat industri seni dan kreatif negara termasuk dari segi birokrasi dalam sebarang urusan.

Ditanya bagaimana DKD boleh memberi manfaat sedangkan aktiviti berkaitan termasuk penggambaran tidak dibenarkan susulan penguatkuasaan fasa satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), Saifuddin menjelaskan: "Sekurang-kurangnya mereka boleh membuat perancangan dengan duit itu, bila boleh beroperasi tidak perlu lagi tunggu.”

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berharap aktiviti penggambaran akan dibenarkan apabila negara memasuki fasa dua Kawalan Pergerakan dalam PPN. - Bernama