174 keluarga terima bantuan makanan daripada MAIS

Wakil MAIS menghantar keperluan makanan untuk diagihkan kepada keluarga memerlukan di Shah Alam dan Klang.
Wakil MAIS menghantar keperluan makanan untuk diagihkan kepada keluarga memerlukan di Shah Alam dan Klang.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 174 keluarga yang terjejas pendapatan sekitar Shah Alam dan Klang menerima bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada Selasa.

MAIS menerusi satu kenyataan berkata, sebanyak RM17,400 diperuntukkan kepada 129 keluarga di Shah Alam dan 45 keluarga di Klang di bawah program tersebut.

Menurut kenyataan itu, proses agihan mendapat kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) terdiri daripada wakil masjid, surau, Sekolah Agama Fardu Ain (KAFA), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), maahad tahfiz dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK).

"Bantuan diberikan dalam bentuk makanan asas termasuk beras, tepung, minyak, gula dan sebagainya menggunakan peruntukan Fidyah MAIS.

"Antara mereka yang menerima sumbangan ini ialah individu dan keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19 khususnya golongan B40, peniaga, penjaja yang terjejas punca pendapatan dan golongan yang hilang pekerjaan," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, program bantuan tersebut juga dilaksanakan dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) iaitu anak syarikat MAIS.

"MAIS mengucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada para pembayar fidyah yang budiman. Bayaran fidyah anda telah kami salurkan dengan kerjasama RSAFM.

"Semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban mereka semua, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Bayaran fidyah boleh dibuat secara dalam talian melalui e-MAIS di http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.