Syabu dan ketum dirampas dalam operasi Redback

Maritim Malaysia turut merampas 25 set bubu naga di perairan Kuala Kedah dengan nilai RM3,000 iaitu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985. Foto: Maritim Malaysia
Maritim Malaysia turut merampas 25 set bubu naga di perairan Kuala Kedah dengan nilai RM3,000 iaitu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985. Foto: Maritim Malaysia
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas dua kilogram (kg) syabu dan 150kg ketum dalam Operasi Redback yang diadakan buat kali ke-15 dengan kerjasama Australian Border Force (ABF) di perairan Langkawi dan Kuala Perlis.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, operasi berlangsung selama lapan hari bermula 22 Jun hingga Selasa membabitkan program 'virtual training' di laut sekitar perairan Langkawi, Kuala Kedah dan Kuala Perlis.

Beliau berkata, syabu yang dirampas bernilai RM100,000 manakala daun ketum pula bernilai RM7,500.

"Secara keseluruhannya, Operasi Redback melibatkan 59 pemeriksaan dan penggeledahan ke atas vessel di laut serta 121 pemeriksaan secara visual melalui radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA).

"Sepanjang tempoh ini juga, operasi berjaya menggagalkan dua siri penyeludupan jenayah rentas sempadan melibatkan Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu rampasan seberat dua kilogram syabu di perairan Langkawi dan rampasan seberat 150 kilogram daun ketum di perairan Kuala Perlis iaitu di bawah Akta Racun 1952," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga, sebanyak 25 set bubu naga dirampas di perairan Kuala Kedah dengan nilai RM3,000 iaitu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Maritim Malaysia dan ABF telah melaksanakan program ‘Inisiatif Bertanya Khabar’ atau ‘Community Outreach’ bagi menyampaikan penjelasan secara santai, mengedarkan risalah dan poster, menyantuni komuniti maritim setempat seperti kelompok nelayan.

Menurutnya, pengusaha bot pelancong di Tanjung Rhu, Kuala Teriang, Pantai Chenang, Telok Temoyong dan Pulau Tuba serta kelompok pengusaha feri Langkawi turut disantuni dalam operasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Dalam setiap sesi perjumpaan, Maritim Malaysia dan ABF turut mengagihkan sumbangan keperluan seperti jaket keselamatan, pelitup muka, cecair pensanitasi tangan, topi Redback, cenderamata rantai kunci Redback serta lain-lain barangan.

“Usaha membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan merupakan satu cabaran. Keluasan 614,000 kilometer persegi perairan negara dengan sempadan perairan sepanjang 8,840 kilometer serta pantai sepanjang 4,675 kilometer adalah ruang lingkup tanggungjawab Maritim Malaysia,” ujar beliau.