Mora puas hati walau JDT tewas

Pemain JDT, Mohamadou Sumareh (tengah), cuba melepas kawalan pertahanan Pohang Steelers. Foto: fb Johor Southern Tigers
Pemain JDT, Mohamadou Sumareh (tengah), cuba melepas kawalan pertahanan Pohang Steelers. Foto: fb Johor Southern Tigers
A
A
A

BIARPUN Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas 1-4 ketika berdepan Pohang Steelers pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Isnin, namun pengendali skuad Harimau Selatan itu, Benjamin Mora tetap berpuas hati dengan komitmen serta prestasi yang ditunjukkan pemain pada perlawanan berkenaan.

Menurut Mora, biarpun kesemua pemain dilihat masih dalam keletihan setelah mengharungi jadual perlawanan yang padat, namun mereka masih berjaya memberikan saingan sengit terhadap kelab dari Korea Selatan itu di sepanjang perlawanan.

“Biarpun masih dalam keletihan, tetapi pada perlawanan berkenaan kami mengawal permainan daripada segi penguasaan bola, transisi dan juga pertahanan; namun bola sepak sememangnya memberikan anda kejutan.

“Selain itu, banyak perkara dalam bola sepak yang berada di luar kawalan seperti cuaca, padang becak, layangan kad (kuning) kepada pemain pertahanan saya (Mauricio Dos Santos) yang dilihat banyak mempengaruhi perlawanan.

“Bagaimanapun, kami telah kehilangan banyak peluang dan pada kebiasaannya banyak pasukan yang sudah pun mengalah dalam situasi seperti itu; namun kami tidak mengalah dan itulah semangat juang; salah satu ciri yang ada pada pasukan ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, JDT lebih dahulu berjaya membuka jaringan menerusi pemain import, Leandro Velazquez pada minit ke-17.

Namun, Pohang Steelers berjaya menyamakan kedudukan menerusi Borys Tashchy pada minit ke-27 setelah menyempurnakan sepakan penalti, diikuti Kang Sang-Woo pada minit ke-35 juga menerusi sepakan penalti, Kwon Gi-Pyo (min-82) dan Lim Sang-Hyub menyempurnakan sepakan penalti ketiga bagi mengesahkan kemenangan bergaya kelab Korea Selatan itu.

Kekalahan berkenaan menyaksikan JDT kini berada pada kedudukan ketiga Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan tiga mata hasil satu kemenangan dan tewas dua kali setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Mora turut menegaskan dia enggan menuding jari kepada mana-mana pemain atas kekalahan berkenaan dan berharap pemain kembali bersedia untuk berdepan Pohang Steelers bagi aksi pusingan kedua peringkat Kumpulan G, Khamis ini.

"Saya tidak menyalahkan mana-mana pemain atas kekalahan ini Cuma pemain perlu melalui proses pemulihan agar kembali cergas untuk beraksi pada perlawanan berkenaan.

“Kami kini tahu cara mereka bermain, dan kami tahu apa yang perlu dilakukan untuk membalas dendam dan mencatatkan kemenangan kali ini,” katanya.