Tidak pakai pelitup muka kesalahan tertinggi di Kelantan

Abdul Rahim
Abdul Rahim
A
A
A

KOTA BHARU - Tidak memakai pelitup muka merupakan kesalahan tertinggi yang direkodkan di daerah ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa dengan jumlah 186 kes dicatatkan bermula Januari sehingga Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, jumlah berkenaan adalah daripada keseluruhan 404 kes membabitkan pelbagai kesalahan pelanggaran SOP.

Beliau berkata, kompaun telah dikeluarkan terhadap kesemua pesalah mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka, individu dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 manakala kesalahan lain serta membabitkan premis perniagaan antaranya sehingga RM20,000.

“Pihak berkuasa pula meneruskan pemantauan secara berterusan bagi memastikan orang awam mematuhi SOP susulan PKP disambung,” katanya kepada pemberita selepas Program Alert Norma Baharu oleh Skuad Aman Wanita (Amanita) di Pasar Tok Guru, Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.

Abdul Rahim (tiga dari kiri) menyampaikan risalah Program Alert Norma Baharu oleh Amanita Skuad Aman Wanita (Amanita) kepada peniaga di Pasar Tok Guru, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Selasa. - FOTO SINAR HARIAN
Abdul Rahim (tiga dari kiri) menyampaikan risalah Program Alert Norma Baharu oleh Amanita Skuad Aman Wanita (Amanita) kepada peniaga di Pasar Tok Guru, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Selasa. - FOTO SINAR HARIAN

Hadir sama ialah Pegawai Turus Kepolisan Komuniti Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Kelantan, Deputi Superintendan Kavitha Nadarajah dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, tahap pematuhan masyarakat setempat terhadap SOP bagaimanapun meningkat berdasarkan jumlah kompaun yang berkurangan pada pertengahan tahun berbanding awal tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Pada Januari, sebanyak 236 kompaun dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan, tetapi jumlah kesalahan menurun pada Februari iaitu sebanyak 42 kompaun, selain Mac (11), April (30), Mei (41) dan Jun (44).

“Lain-lain kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen rentas daerah atau negeri, tidak mematuhi perintah kawalan pengawasan dan pemerhatian bagi mereka yang memakai gelang merah jambu, serta beroperasi lebih waktu yang ditetapkan,” katanya.