X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Miliki senapang tembak ikan, juruteknik didenda RM2,500

Perbuatan seorang juruteknik penghawa dingin memiliki senapang buatan sendiri untuk menembak ikan membawa padah apabila dia didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret. - Gambar hiasan
A
A

SELAYANG - Perbuatan seorang juruteknik penghawa dingin memiliki senapang buatan sendiri untuk menembak ikan membawa padah apabila dia didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Muhammad Hazari Hassan Basri, 39, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya yang dibaca di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didapati memiliki selaras senapang buatan sendiri berukuran panjang lebih kurang 0.43 meter, pemegang kayu berwarna coklat, laras aluminium dan peluru sebatang besi berukuran 0.3 meter di hujung besi yang telah diubah suai menjadi tajam.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Selayang Height di sini pada jam 7.30 malam, 25 Jun lalu.

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pihak polis membuat rondaan cegah jenayah Op Covid Sly Zone 8 Zone B, terserempak dengan tertuduh yang menaiki kereta jenis Proton Satria.

Mereka mengarahkan tertuduh memberhentikan kenderaan namun dia ingkar dan terus memecut laju.

Selepas berjaya ditahan kira-kira satu kilometer dari lokasi awal, hasil pemeriksaan menemui senjata tersebut di bawah tempat duduk penumpang sebelah kiri.

Semasa prosiding, tertuduh yang diwakili peguam bela, D Jaymurugan merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan.

"Masa ditahan, dia berasa takut lebih-lebih lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, jadi dia terus memecut laju kenderaannya.

"Sebenarnya, senapang tiruan yang dimiliki anak guam saya adalah untuk tujuan memancing (menembak ikan)," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!