X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Trend jenayah pecah rumah menurun

Abd Jalil Hassan
A
A

KUALA LUMPUR - Trend jenayah pecah rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac tahun lalu sehingga Ahad menunjukkan penurunan sehingga 21.2 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, dalam tempoh 469 hari itu jenayah pecah rumah dicatatkan sebanyak 16,452 kes berbanding 20,875 kes iaitu menurun sebanyak 4,423 kes.

"Penurunan yang dicatatkan itu kesan pelaksanaan PKP yang menyaksikan kehadiran pasukan keselamatan dan penguat kuasa yang membuat rondaan secara berkala," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Abd Jalil berkata, bagaimanapun, peningkatan pecah rumah berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan secara berperingkat iaitu mulai 4 Mei tahun lalu sehingga 10 Jun tahun lalu.

"Jumlah kes yang dicatatkan bagi tempoh itu ialah 1,167 kes berbanding tempoh sama sebelum PKPB iaitu 1,063 kes," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh PKP itu juga seramai 5,518 individu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Daripada jumlah berkenaan, seramai 3,572 individu tiada pekerjaan tetap," katanya.

Abd Jalil memohon masyarakat bersama-sama mengekang kejadian jenayah di komuniti mereka dan sentiasa memastikan rumah sentiasa berkunci selain peka dengan persekitaran kejiranan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!