Tiada lagi amaran terus kompaun individu, kumpulan berhimpun

AYOB KHAN
AYOB KHAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor akan mempertingkatkan kawalan dan pemantauan di kawasan istana dan beberapa lokasi strategik di negeri ini susulan tular satu rakaman video mengajak orang ramai berhimpun di beberapa lokasi pada jam 12 tengah hari esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiada lagi amaran akan diberikan sebaliknya tindakan kompaun di bawah Akta 342 akan dikenakan kepada mana- mana individu atau kumpulan yang didapati berhimpun.

"Memang tidak boleh berkumpul, kalau berkumpul juga polis akan ambil tindakan kompaun di bawah Akta 342.

"Polis Johor akan tingkatkan kawalan dan pemantauan di kawasan istana dan beberapa lokasi strategik lagi di negeri ini. Lagi pun kawasan istana adalah kawasan larangan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Ayob Khan berkata demikian ketika diminta mengulas video berdurasi dua minit 40 saat yang tular di media sosial sejak Isnin.

Menerusi video itu, seorang individu memakai topeng muka mengajak orang ramai berhimpun bagi membantah pelaksanaan 'lockdown' dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi 'operasi' dikenali sebagai Black Democracy.

Sebelum itu pada Selasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta perhimpunan susulan tular satu rakaman video mengajak orang ramai berhimpun pada jam 12 tengah hari di beberapa lokasi esok.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, dilaporkan berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan: