Isu tanah kolam udang: SPRM Perak akan panggil saksi

Mohd Fauzi Mohamad
Mohd Fauzi Mohamad
A
A
A

IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak akan memanggil beberapa saksi berhubung siasatan isu pemberian tanah seluas 18.8 hektar kepada sebuah syarikat di Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar yang dikaitkan dengan seorang exco kerajaan Perak.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, antara saksi yang bakal dipanggil termasuk daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) bagi membantu siasatan.

Menurutnya, selain itu, saksi dari pejabat daerah dan tanah juga akan turut dipanggil memberikan keterangan berhubung laporan yang dibuat oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak pada sebelum ini.

"Setakat ini kita sudah selesai mengambil keterangan daripada pengadu (AMK Perak) dan kes masih lagi dalam siasatan dengan beberapa saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Setakat ini siasatan dibuat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada 22 Jun lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menerusi sayapnya, AMK membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pemberian tanah kerajaan ke atas sebuah syarikat milik seorang pegawai khas Exco Kerajaan Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: AMK lapor SPRM Exco Perak salah guna kuasa

'Kami sewa tanah, bukan anugerah kerajaan'

Artikel Berkaitan:

Setiausaha AMK Perak, Zaim Sidqi Zulkifly berkata, laporan berhubung isu tersebut telah dibuat memandangkan berlaku keraguan dalam pemberian tanah milik sebuah anak syarikat kerajaan negeri kepada syarikat berkenaan bagi tujuan projek akuakultur di Parit Buntar.

Sementara itu, Syarikat Makmur Cemerlang Sdn Bhd yang dikaitkan dengan pemberian tanah seluas 18.8 hektar milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar pada 26 Jun lalu tampil memberi penjelasan bahawa tanah tersebut sebenarnya disewa.

Pengarah syarikat terbabit, Ahmad Adenan Said berkata, dakwaan bahawa kerajaan negeri menganugerahkan tanah tersebut adalah tidak tepat dan tidak benar sama sekali.

Malah syarikat terbabit turut memulakan proses tuntutan undang-undang ke atas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berkaitan isu tanah tersebut.