Masti cadang empat strategi tambahan sokongan Pemulih

Raja Shah Erman Raja Arifin
Raja Shah Erman Raja Arifin
A
A
A

KUANTAN - Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (Masti) mencadangkan empat strategi tambahan bagi menyokong pelan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presidennya, Raja Shah Erman Raja Arifin berkata, cadangan tersebut ialah memperkasakan modal insan di universiti awam dan mengukuhkan peranan sebagai perantara pasukan pengurusan bencana menerusi pasukan sukarelawan di semua sektor barisan hadapan.

Melalui cara itu, katanya, ia dapat membantu semua pihak dalam menyalurkan sumbangan bersasar kepada golongan yang memerlukan secara berfasa.

"Seterusnya, kapasiti kemudahan, infrastruktur dan infostruktur yang dimiliki oleh universiti awam bukan sahaja sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tetapi pusat sehenti perlu dioptimumkan. Ini bagi memberi sokongan kepakaran terhadap masalah kesihatan mental atau emosi, penasihatan kewangan dan sokongan keluarga termasuk secara dalam talian.

"Pusat Latihan Graduan bagi memulakan dan mencipta kerja melalui pendekatan digital menerusi bantuan kepakaran dalaman universiti dengan menawarkan Geran Permulaan Usahawan Mikro Graduan, serta boleh diperluaskan kepada staf universiti yang sebelum ini mempunyai sumber pendapatan kedua yang turut terjejas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, strategi tambahan yang terakhir ialah dengan menawarkan konsultansi dan kursus jangka pendek kepada komuniti setempat.

Katanya, mana-mana keluarga terputus punca pendapatan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk pengusaha-pengusaha di dalam kampus di setiap universiti boleh menceburkan diri bidang baharu seperti pertanian, ternakan, asas kerja elektrik, mekanikal dan awam serta perusahan berasaskan makanan ringan.

Selain itu, Raja Shah Erman berkata, aspek kesihatan perlu diutamakan dengan mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, warga universiti perlu memastikan sasaran untuk menurunkan kes harian dengan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, malah pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) terus diperkasakan tanpa mengurangkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.

" Justeru, Masti yang mewakili barisan pentadbir profesional di 20 universiti awam seluruh negara membina harapan tinggi pelan Pemulih berjaya mencapai sasarannya.

"Kita menyeru agar kepimpinan negara terus peka untuk mendengar rintihan dan pandangan rakyat dari masa ke masa dalam meneruskan kelangsungan hidup serta membuat perancangan dan keputusan lebih rasional dalam menentukan fasa kedua," katanya.