X

Kindly register in order to view this article
!

Struktur binaan haram di 14 lot tanah bakal dirobohkan

Anggota bomba dan penyelamat pada Selasa masih giat menjalankan operasi pemadaman api di Kampung Sawah berhampiran jeti Pulau Carey, Banting selama 24 jam sejak Sabtu.
A
A

BANTING - Struktur binaan haram di 14 lot tanah berhampiran kawasan tapak kebakaran di jeti Pulau Carey di sini akan dirobohkan oleh pihak berkuasa dalam masa terdekat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, semakan mendapati tujuh lot tanah di situ telah bertukar status daripada pertanian kepada perindustrian, manakala selebihnya masih belum mendapat kelulusan.

Beliau bagaimanapun berkata, semua struktur binaan di atas tanah lot terbabit tidak mendapat sebarang kelulusan Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

"Lot-lot ini tidak mendapat KM kerana mereka tidak membayar premium tanah berjumlah kira-kira RM1 juta sebelum ini.

"Tindakan sitaan telah dilaksanakan pada Isnin dan struktur binaan di atas lot tanah ini juga akan dirobohkan dalam masa terdekat," katanya selepas meninjau lokasi kebakaran berkenaan pada Selasa.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan mengenai kebakaran melibatkan longgokan tayar yang dipotong untuk dijadikan sumber bahan bakar di Kampung Sawah berhampiran jeti Pulau Carey di sini.

Kebakaran kira-kira jam 4 petang itu membabitkan kawasan berkeluasan kira-kira 0.37 hektar.

Sementara itu, Loy Sian berkata, kawasan kebakaran itu merupakan tapak gudang bagi menyimpan tayar-tayar terpakai yang diimport dari Australia.

"Tayar ini akan dijadikan bahan bakar untuk kilang-kilang kitar semula plastik dan simen di sekitar Langkawi.

"Disebabkan itu, kita minta kerajaan Persekutuan untuk tidak membenarkan import barangan sebegini kerana banyak negara lain tidak menerimanya," katanya.

Tambah Loy Sian, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 22(2) (b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Kita juga akan mencadangkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Langat untuk mengeluarkan Borang 7A bagi merampas tanah ini," ujarnya.

Beliau berkata, usaha bagi memadamkan kebakaran di lokasi terbabit masih giat dijalankan oleh anggota JBPM.

Menurutnya, api dijangka dapat dipadamkan sepenuhnya pada Rabu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!