Nelayan maut terkena renjatan elektrik

Mangsa melecur separuh badan akibat terkena renjatan elektrik disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSM. Foto: ihsan Maritim Malaysia.
Mangsa melecur separuh badan akibat terkena renjatan elektrik disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSM. Foto: ihsan Maritim Malaysia.
A
A
A

LUMUT - Seorang nelayan warga Thailand maut selepas terkena renjatan elektrik ketika keluar menangkap ikan di kedudukan lebih kurang 26.8 batu nautika barat laut Pulau Pangkor di sini pada Selasa.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 54 tahun yang melecur separuh badan dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung di sini, kira-kira jam 6 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menerima laporan seorang kru nelayan dilaporkan mengalami kecederaan serius ketika berada di atas bot nelayan tempatan pada pukul 1.27 pagi.

"Sejurus itu, Kapal Maritim (KM) Gagah dikerahkan serta-merta ke titik koordinat kecemasan tersebut bagi melaksanakan pemindahan dan bantuan perubatan kepada mangsa.

"Pada masa sama, pihak hospital turut dimaklumkan bagi bantuan kecemasan dan perubatan kepada mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat juga telah diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi sekitar jam 1.40 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi, kru kapal segera melaksanakan pemindahan mangsa ke kapal dan seterusnya dibawa ke jeti Pasukan Gerakan Marin (PGM), Kampung Acheh di sini. Mangsa seterusnya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Hasil maklumat mendapati kejadian dilaporkan berpunca daripada renjatan elektrik di atas bot nelayan berkenaan. Mangsa mengalami melecur kelihatan di dalam keadaan separa sedar sebelum disahkan meninggal dunia di hospital," katanya.

Artikel Berkaitan:

Maritim Perak meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim di talian 05-6838737.