Dua lelaki mengaku tidak salah palsu surat darjah kebesaran

Kedua-dua tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Melaka atas pertuduhan memalsukan dokumen darjah kebesaran di sini pada Selasa.
Kedua-dua tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Melaka atas pertuduhan memalsukan dokumen darjah kebesaran di sini pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh pada Selasa atas pertuduhan memalsukan dokumen darjah kebesaran negeri pada Mac lalu.

Mohamed Fariq Abdul Rahman, 46, dan Abdullah Samsu@Hanafi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah memalsukan dokumen iaitu satu surat bertajuk pengesahan mengenai status surat penerimaan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri sempena sambutan ulang tahun ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bertarikh 24 Mac 2021.

Surat itu juga ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka dengan niat supaya dokumen palsu terbabit digunakan dengan tujuan hendak menipu.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat SUK Negeri Melaka kira- kira jam 12 tengah hari pada 31 Mac 2021.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM6,000.

Bagaimanapun tertuduh melalui peguambela mereka, Muhammad Syazwan Mohd Salleh dan Mohd Norazihan Adnan merayu jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan selain pendapatan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 25 Ogos depan untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes.